Fatwa haramkan rokok selepas diwarta
Sumnber Utusan Malaysia / 15 Disember 2008 (Dalam Negeri ms:6)
KUALA LUMPUR 14 Dis. - Fatwa pengharaman merokok yang diputuskan oleh Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1997 hanya boleh dikuatkuasakan apabila ia diterima dan diwartakan oleh semua negeri.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, pewartaan itu pula hanya dilakukan apabila Jawatankuasa Fatwa peringkat negeri meluluskannya serta mendapat perkenan Sultan atau Raja negeri berkenaan.
Beliau yang juga Setiausaha Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berkata, selepas diperkenankan Sultan, barulah hukum mengharamkan merokok boleh diwartakan menjadi fatwa di negeri tersebut.
''Proses pewartaan bergantung pada keperluan, kesediaan dan kepentingan isu itu di peringkat negeri. Apa yang penting, isu itu boleh diselaraskan di peringkat kebangsaan.
''Soal pelaksanaan untuk dijadikan satu fatwa rasmi bergantung pada budi bicara pihak kerajaan negeri," katanya pada sesi dialog Majlis Fatwa Kebangsaan bersama media di sini malam ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin, para mufti selaku ahli jawatankuasa majlis dan Penasihat Editorial Bernama, Datuk Azman Ujang sebagai wakil media.
Wan Mohamad mengulas kenyataan tokoh agama, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, yang meminta majlis berkenaan mengkaji kembali pandangan pengharaman merokok dan mencari punca mengapa fatwa yang dibuat pada 1997 itu tidak diwartakan di semua negeri sehingga kini.
Abu Hasan dilaporkan berkata, langkah itu adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengelak umat Islam di negara ini terus keliru berhubung isu berkenaan.
Ditanya mengenai pandangan Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berkaitan isu yoga yang diumumkan baru-baru ini, Abdul Shukor pula berkata, ada pihak yang tidak memahami istilah berkaitan pandangan berkenaan.
Katanya, sehingga ia diterima oleh Majlis Jawatankuasa Fatwa Negeri dan diperkenankan oleh Sultan atau Raja negeri terbabit, isu yoga itu hanya tinggal sebagai pandangan dan bukannya satu fatwa.
''Kita tidak menggunakan istilah "ban" (mengharamkan) kerana ia belum menjadi fatwa lagi. Istilah haram boleh memberi kesan bukan saja kepada orang Islam malah kepada bukan Islam," katanya.
Bagaimanapun, beliau menolak tanggapan berlakunya pergeseran di antara majlis itu dengan pihak istana selepas membuat pengumuman berkaitan beberapa isu melibatkan umat Islam kerana ahli majlis itu sendiri dilantik oleh Majlis Raja-raja.
Pada majlis yang sama, Abdul Shukor turut melancarkan buku Biografi Mufti-Mufti di Malaysia hasil tulisan Azman Ab. Rahman, Zahari Mahad Musa, Nik Salida Suhaila Nik Saleh dan Adel M. Abdul Aziz yang diterbitkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan