Memaparkan catatan dengan label Celik Fiqh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Celik Fiqh. Papar semua catatan

Sabtu, 12 Mac 2011

Hukum Mengeksploitasi Rukhsah

Oleh : Allamah Dr Hassan Ali Al Saqqaf

Ketahuilah (semoga anda semua dirahmati Allah) bahawasanya diharamkan ke atas semua individu Muslim untuk mengeksploitasi fatwa ulamak yang senang dan paling mudah. Mereka sengaja mencari keputusan yang paling senang dan paling secocok dengan hawa nafsu mereka. Perkara ini tentunya dibuat tidak berdasarkan dalil-dalil dan hujah-hujah syarak.

Mereka mentarjih dan menentukan satu-satu masalah berdasarkan hawa nafsu mereka dengan berselindung di sebalik slogan :

"Dalam masalah ini terdapat khilafiyah. Yakni terdapat dua atau lebih pendapat ulamak yang berselisih faham tentangnya."

Mereka yang mengikut cara sebegini zahirnya selalu berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain. Mereka juga selalu berpindah dari satu pendapat kepada pendapat yang lain demi mengikut hawa nafsu mereka. Di hadapan manusia mereka berselindung dengan dakwaan mereka mengikut hukum Allah subahanahu wa ta'ala, mengikut sunnah dan pendapat ulamak. Namun hakikatnya, di sisi Allah mereka hanya menunggang hawa nafsu semata-mata.

Firman Allah subahanahu wa ta'ala di dalam al Quran :

أَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ ۥ هَوَٮٰهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيۡهِ وَڪِيلاً (٤٣) أَمۡ تَحۡسَبُ أَنَّ أَڪۡثَرَهُمۡ يَسۡمَعُونَ أَوۡ يَعۡقِلُونَ‌ۚ إِنۡ هُمۡ إِلَّا كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ‌ۖ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ سَبِيلاً (٤٤)

Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? (43) Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.

(Surah al Furqan : 43-44)

FirmanNya lagi :

أَفَكُلَّمَا جَآءَكُمۡ رَسُولُۢ بِمَا لَا تَہۡوَىٰٓ أَنفُسُكُمُ ٱسۡتَكۡبَرۡتُمۡ فَفَرِيقً۬ا كَذَّبۡتُمۡ وَفَرِيقً۬ا تَقۡتُلُونَ (٨٧)

Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?

(Surah al Baqarah : 87)

FirmanNya lagi :

وَأَرۡسَلۡنَآ إِلَيۡہِمۡ رُسُلاً۬‌ۖ ڪُلَّمَا جَآءَهُمۡ رَسُولُۢ بِمَا لَا تَهۡوَىٰٓ أَنفُسُہُمۡ فَرِيقً۬ا ڪَذَّبُواْ وَفَرِيقً۬ا يَقۡتُلُونَ (٧٠)

(Tetapi) tiap-tiap kali datang seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian lagi.

(Surah al Maidah : 70)

FirmanNya lagi :

فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْ‌ۚ وَإِن تَلۡوُ ۥۤاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرً۬ا (١٣٥)

Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

(Surah an Nisa' :135)

FirmanNya lagi :

يَـٰدَاوُ ۥدُ إِنَّا جَعَلۡنَـٰكَ خَلِيفَةً۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَٱحۡكُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلۡهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah.

(Surah Sad : 26)

FirmanNya lagi :

وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَـٰهُ بِہَا وَلَـٰكِنَّهُ ۥۤ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ‌ۚ

Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya;

(Surah Al A'raf : 176)

FirmanNya lagi :

وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُ ۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُ ۥ فُرُطً۬ا (٢٨)

dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

(Surah al Kahfi :28)

FirmanNya lagi :

فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهۡوَآءَهُمۡ‌ۚ وَمَنۡ أَضَلُّ مِمَّنِ ٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ بِغَيۡرِ هُدً۬ى مِّنَ ٱللَّهِ‌ۚ

Ertinya : maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayat petunjuk dari Allah.

(Surah al Qasas : 50)

FirmanNya lagi :

ثُمَّ جَعَلۡنَـٰكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ۬ مِّنَ ٱلۡأَمۡرِ فَٱتَّبِعۡهَا وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ (١٨)

Ertinya :

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

(Surah al Jatsiah :18)

FirmanNya lagi :

وَلَا تَتَّبِعُوٓاْ أَهۡوَآءَ قَوۡمٍ۬ قَدۡ ضَلُّواْ مِن قَبۡلُ وَأَضَلُّواْ ڪَثِيرً۬ا وَضَلُّواْ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ (٧٧)

dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.

(Surah al Maidah : 77)

Daripada getusan ayat-ayat ini, kita dapat mengetahui bahawa ilmu usuluddin melarang seseorang itu daripada mengikut hawa nafsunya. Dan mencari pendapat yang paling mudah pula satu dari perbuatan mengikut hawa nafsu. Ia sesuatu yang terlarang lagi haram sebagaimana yang telah dijelaskan oleh ulamak.

عن سيدنا أنس رضي الله عنه قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : حفة الجنة بالمكاره, وحفة النار بالشهوات (رواه مسلم )

ertinya :

Daripada saidina Anas RadiyaLlahu 'anhu, RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda : "Syurga itu dikelilingi oleh sesuatu yang tidak mengujakan nafsu (di dunia). Manakala neraka pula dikelilingi oleh perkara yang menyeronokkkan nafsu (di dunia)".

Riwayat Muslim dalam Sahihnya .

Jelas kepada kita bahawa mencari pendapat ulamak yang paling mudah dan mengikut pendapat manusia ramai yang jahil adalah satu perbuatan mengikut hawa nafsu.

Sesungguhnya telah berlaku ijmak di kalangan ulamak muktabar bahawa haram hukumnya bertindak sembrono dalam mengeluarkan fatwa dan menyimpang dari pendapat yang sahih lagi rajih. Maka wajib ke atas ulamak mujtahid mencari dalil yang tepat dalam mengeluarkan sesuatu hukum. Dan wajib ke atas setiap ulamak mujtahid mencari dalil yang tepat dalam mengeluarkan sesuatu hukum. dan wajib pula atas setiap muqallid (pengikut) mengikuti dalil yang sahih lagi rajih (paling kuat) dalam lingkungan mazhab imamnya. Marilah kita ikuti beberapa pandangan ulamak mengenai hal ini :

1. Al Imam al Hafiz Ibn Abd al Barr di dalam kitabnya Jami' Bayan al Ilmi wa Fadhluh m/s 112 juz 2 mengatakan :

"Jika anda mengambil setiap pendapat yang paling mudah dari orang alim maka terkumpullah segala kejahatan." Katanya lagi : "Ini adalah ijmak ulamak (kesepakatan semua ulamak)".

2. Imam An Nawawi di dalam kitabnya al Majmu' Syarh al Muhadzhab m/s 55 juz 1 mengatakan :

"Sekiranya seseorang itu dibolehkan mengikuti apa yang dikehendakinya, nescaya perbuatan itu ini akan membawa kepada keinginan untuk mencari keringanan di dalam mazhab. Perbuatan ini sebenarnya hanya menurut hawa nafsu/ Seseorang itu akan mudah memilih antara yang halal, haram, wajib dan harus. Perbuatan ini boleh membawa kepada terungkainya tuntutan taklif."

Kata-kata yang senada juga turut diluahkan oleh Imam al Hafiz Ibn al Solah di dalam kitabnya Adab al Mufti wa al Mustafi' m/s 46 juz 1.

3. Imam an Nawawi sekali lagi di dalam al Majmu' Syarh al Muhadzab m/s 46 juz 1 menegaskan :

"Haram hukumnya bertindak sembrono dalam memberikan fatwa. Dan haram pula bagi mereka yang meminta fatwa daripada orang yang bersikap sembrono itu."

4. Allamah as Syatibi di dalam al Muafaqat m/s 134 juz 4 mengatakan :

"Sesungguhnya mengikut perkara yang paling mudah di dalam mazhab itu akan membawa kepada pegangan yang tidak berdasarkan kepada dalil syarak. Sesungguhnya Ibn Hazm telah menyatakan telah berlaku kesepakatan secara ijmak bahawa perbuatan sedemikian adalah fasiq (kejahatan) dan tidak halal ".

Bagi saya, perkataan Imam al Syatibi "pegangan yang tidak berdasarkan dalil syarak" bermaksud dalil yang tidak muktabar (tidak dikira benar). Contohnya, bagi mereka yang tidak solat, mereka pergunakan satu ayat yang berbunyi :

فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡمُصَلِّينَ (٤)

Ertinya : maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang; (Surah al Ma'un : 4)

Ini adalah satu contoh pengambilan dalil yang salah.

5. Imam al Hafiz al Zahabi di dalam kitabnya Siyar A'lam al Nubala' m/s 90 juz 8 mengatakan :

"Barangsiapa yang mencari kemudahan dalam mazhab dengan kekeliruan ulamak mujtahid.. maka tipislah agamanya. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Auza'ie dan lain-lain yang berbunyi : "Sesiapa yang mengambil pendapat ulamak Makkah tentang kebenaran nikah mut'ah (sinonim denga amalan pengikut Syi'ah), pendapat para ulamak Kufah tentang arak dan pendapat para ulamak Madinah tentang nyanyian serta pendapat ulamak Syam(Jordan, Palestin dan Syiria) tentang maksumnya khalifah yang empat, maka sesungguhnya dia telah mengumpul kejahatan. Dan demikian juga bari mereka yang menghalalkan jual beli riba, nikah, talak dan sebagainya. Kesemua ini membawa kepada kehancuran. Marilah kita memohon taufiq dan hidayah dari Allah subahanahu wa ta'ala".

6. Imam al Hafiz Taqiyuddin al Subki di dalam fatwanya m/s 147 juz 1 mengatakan :

"Bagi mereka yang mengambil pendapat yang mudah di dalam mazhab: mereka akan menikmatinya dengan sedap kerana sebenarnya mereka mengikut hawa nafsu dan bukan mengikut agamanya."

Bagi saya, pendapat ini merangkumi sikap sesetengah kita yang memilih pendapat ulamak yang paling lemah dan ringan dalam satu mazhab yang dikira sesuai dengan ciratasa mereka.

Sumber : Dr Hassan Ali al Saqqaf, Sifat Solat Nabi Yang Sahih, Cetakan Ketiga 2011, Zamihan Mat Zain, Selangor.

Bacaan Tambahan :

Soalan : Apakah hukum bertaqlid kepada seorang Imam dalam satu masalah dan kemudiannya bertaqlid kepada Imam lain dalam masalah yang lain pula?

Jawapan : Inilah yang dinamakan talfiq. Sebahagian ulama membenarkannya dan sebahagian yang lain melarangnya. Pada pandangan saya. sekiranya talfiq ini bertujuan mencari hukum yang termudah dan yang bertepatan serta disukai oleh hawa nafsu tanpa mengira dalil, maka hukumnya adalah tidak harus.

Para salaf telah berkata :

"Orang yang mencari rukhsah(Keringanan) daripada mazhab-mazhab adalah fasiq."

Sebagai contoh : Seseorang yang mengambil pendapat mazhab tertentu apabila kepentingannya terdapat di dalam pendapat tersebut seperti seorang lelaki mengambil pendapat Abu Hanifah yang mengatakan jiran mempunyai syuf'ah bagi membolehkannya memiliki rumah jiran sebelahnya. Tetapi jika pendapat mazhab tersebut mendatangkan maslahat kepada jirannya, dia akan mengambil pendapat sebaliknya iaitu jika dalam masalah yang sebaliknya.

Dia berkata : " Aku mengambil pendapat Imam Syafi'ie dan aku menolak pendapat lainnya." Ini adalah kerana dia mengikut hawa nafsunya, mempermain-mainkan agama dan menjadikan mazhab-mazhab sebagai hamba kepada kepentingannya.

Seorang Mukmin sepatutnya sentiasa bersama-sama kebenaran sama ada kebenaran itu baginya atau ke atasnya (zahirnya menguntung atau merugikannya). ALlah telah mencela kaum Munafiq di dalam firmannya yang berertii :

"Dan (dia antara orang-orang yang tidak dikehendakinya ke jalan yang lurus ialah mereka yang berkata :"Kami beriman kepada ALLah dan kepada RasulNya serta kami taat, kemudian segolongan dari mereka berpaling (membelakangkan perintah ALLah dan Rasul) Sesudah pengakuan itu dan (Kerana berpalingnya Tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya beriman. Dan (Bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada kitab ALlah dan sunnah RasulNya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta-merta segolongan dari mereka berpaling engkar (menolak ajakan itu kiranya keputusan tidak menguntungkan mereka). Dan (sebaliknya) jika keputusan itu mmeberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya denan tunduk dan ta'at (menerima hukumannya)"

(Surah An Nur : 47-19)

Kaum ini mahukan kebenaran mengikut mereka, bukannya mereka mengikut kebenaran seperti yang dilakukan oleh Mukmin sebenar.

Adapun sekiranya seseorang itu mengikut pendapat yang paling betul (rajih) pada pandangannya (dari segi dalil dan hujah) dan paling kuat pada penilaian hatinya, bolehlah dia mengikut pandangan Abu Hanifah yang mengatakan bahawa menyentuh perempuan tidak membatalkan wuduk, pandangan Syafi'e yang mengatakan bahawa keluar darah tidak membatalkan wuduk dan pandangan Maliki yang mengatakan bahawa Air tidak akan najis melainkan apabila berubah warna, bau atau rasa, setelah dia merasa tenang dengan dalil-dalilnya. - (Tambahan dari admin : Orang yang sebegini sebenarnya telah mencapai satu taraf sebagai mujtahid tarjih. Imam as Syatibi menyatakan :

Ia belum mencapai tingkat ijtihad tetapi mampu memahami dalil dan mampu melakukan tarjih. Untuk golongan ketiga ini, kita perlu melihat keadaannya. Bila berkemampuan tarjihnya dapat dianggap memenuhi syarat, bererti ia adalah mujtahid sebab hakikat mujtahid hanyalah mengikuti ilmu dan menganalisisnya. Jadi orang yang mampu melakukan tarjih dan dapat diterima hasil tarjihnya adalah seorang mujtahid.

Akan tetapi, bila tarjihnya masih belum dapat diterima, keadaannya adalah sama dengan orang awam. Hal ini kerana orang awam mengikut mujtahid untuk mendapatkan kebenaran ilmu yang tidak mampu ia lakukan sendiri. Demikianlah halnya orang yang tarjihnya masih belum diterima . ( Al I'tisham, susunan Imam Asy Syatibi, jilid III, hlmn 250))

Inilah fatwa saya. Semoga ALlah memudahkan kita untuk memahami agama-Nya. Sesiapa yang ALlah hendak berikan kebaikan akan diberi kefahaman dalam agama. Selawat dan salam ke atas nabi Muhammad, keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Rujukan : Feqh Mu'asaroh - Fatwa Masakini Jilid 5&6 - Dr Yusuf al Qardhawi

Selasa, 16 Mac 2010

hukum Berjabat Tangan berdasarkan Mazhab - Menjawab Tuduhan Palsu Ulama sebagai sesat kerana berjabat Tangan dengan Wanita

Adakah Qardhawi sesat menurut Org-Org Alim yg menuduh perbuatan ini bercanggah dengan syariat (kecuali yang bermazhab syafie)

Prof Qardhawi telah mengeluarkan fatwa berkaitan bab bersalaman dengan wanita (Fatawa Mu'asirat): Berikut adalah fatwa dan penjelasannya secara ringkas.



1.Harus berjabat tangan ketika tidak disertai dengan syahwah, rasa kenikmatan atau rasa teransang. Ia juga mesti aman daripada fitnah. Jika disertai dengan syahwah dan teransang gelora seks, maka haram hukumnya walaupun dengan mahram (ipar duai, mertua, anak saudara dan lain-lain) atau lelaki remaja yang belum tumbuh janggut)


2.Berjabat tangan hendaklah pada tempat yang perlu sahaja, contohnya: suasana hari raya, ramai sahabat handai, saudara mara yang datang yang kebanyakannya adalah saudara mara samaada melalui nasab atau perkahwinan.


3. Ia pada kadar yang tidak keterlaluan dan berlebihan sebagai langkah berjaga-jaga kerana RasuluLlah saw tidak pernah berjabat salam dengan wanita bukan mahram.


4.Lelaki beriman yang menjaga agamanya seharusnya tidak memulakan salam (kepada wanita). Ia bersalaman bila pihak wanita yang memulakan dahulu.

5.Hukum bersalaman dengan wanita ini terhad dan khusus bagi siapa yang memerlukan sahaja.


Perbahasan dalam bab ini sungguh panjang, maka Qardhawi telah merumuskan untuk kita.


Rujukan lanjut: alQardhawi, Prof.; Fatawa Mu'asirat (Fatwa-fatwa
Semasa).bab wanita dan kekeluargaan


Mengikut Mazhab Imam Syafie RHM

sekiranya segaja menyentuh atau tersentuh antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, jawabnya adalah haram. Berdosa. Kalau kita ada wudhuk, batal wudhuk itu. Imam Syafie sedikit syadid, keras dan tegas dalam masalah ini. Ini kerana ianya lebih bersifat berhati-hati dan sangat menjaga.


Dalam Mazhab Imam Syafie walaupun orang yang kita sentuh itu isteri atau suami kita ketika berwudhuk jawabnya batal wudhuk kita namun ianya tidaklah berdosa. Tetapi t

idak haram kalau kita menyentuhnya ketika kita tidak berwudhuk. Pengecualian ini hanya kepada pasangan suami isteri sahaja. Kalau belum menjadi suami isteri, hukumnya tetap haram dan berdosa.

Maksud tersentuh ini termasuklah bersalaman. Lelaki dan perempuan yang bukan mahram, haram bersalaman.

Adakah syeikh Sayyid al-Tantawi juga akan disesatkan selepas ini???

APA PANDANGAN SHEIKH MOHAMMED SAYED TANTAWI

Mohammed Sayed Tantawi datang melawat Malaysia (Sheikh Mohammed Sayed Tantawi telah meninggal dunia pada 10hb. Mac 2010 dalam usia 82 tahun kerana sakit jantung - Al-Fatihah untuk ulamak besar ini) dan telah dijemput untuk memberi ceramah TV1 dengan menggunakan jurubahasa.

Mengikut Allahyarham, Islam membolehkan kita bersentuh kerana bersalaman dengan wanita atau lelaki yang bukan mahram. Tetapi sentuhan itu janganlah disertakan dengan syahwat. Kalau dengan syahwat katanya, menyentuh anak sendiripun jawabnya adalah haram. Mazhab Maliki membolehkan persentuhan itu dengan syarat ikhlas dan tidak disertakan dengan syahwat.


Kesimpulan:

  • Kita seharusnya melihat kepada mazhab yang menjadi pegangan dan pedoman kita dalam melakukan amalan seharian. Manakala, jaganlah menuduh secara melulu tanpa melihat kepada pandangan Ilmu terlebih dahulu.
  • Menurut kita yang bermazhab syafie sewajarnya berpandangan sebagaimana Imam Syafie, manakala pandangan Para Ulam' sebagimana kedua di atas, meupakan Mujtahid yang melakukan segala perkara sesuai dengan Pandangan mereka sebagi seorang Ulama.
  • Sikap fanatik menkafirkan sesama Islam sama seprti sikap Wahabi dan Kaum Muda yang baru belajar yang taksub ( tanpa Ilmu ) yang berlebihan sehingga sanggup mengatakan sesat kpd mereka yang berbeza pandangan dengan mereka.

Wallahua'lam.

Hukum Mencium Tangan Ulama dan Orang Soleh

Hukum Mencium Tangan Ulama dan Orang Soleh

Soalan:

Apakah hukum mencium tangan para ulama dan orang soleh? Adakah ia suatu bid’ah atau ia dianjurkan oleh syarak?

Jawapan :

Mencium tangan ulama, orang-orang soleh dan pemimpin yang adil adalah sunat dan bukanlah suatu yang bid’ah selagi mana ia tidak menyebabkan mereka yang dicium tangan itu tertipu (ghurur). Sekiranya keadaan itu terjadi, dosa dibebankan kepada orang yang diciumkan tangannya dan bukannya kepada orang yang mencium, kerana yang mencium itu hanya bermaksud untuk memuliakan dan menghormatinya.

Dalil bagi masalah ini adalah seperti berikut :

1. Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh At Tirmidzi dan Abu Daud dengan sanad yang hasan sahih daripada Safwan bin ‘Assal radiyaLLahu ‘anhu katanya : “Seorang Yahudi berkata kepada sahabatnya: “Mari kita pergi bertemu dengan nabi ini.” Lalu mereka berdua pergi menemui Nabi sallaLLahu ‘alaihi wasallam dan bertanyakan kepadanya sembilan tanda yang nyata. Maka RasuluLlah pun menjawab : “Janganlah kamu mensyirikkan ALLah dengan sesuatu apapun, jangan kamu mencuri, jangan kamu berzina, jangan kamu membunuh jiwa yang diharamkan ALLah melainkan dengan haknya, jangan kamu berjalan dengan bebas kepada seorang yang mempunyai kekuasaan lalu dia membunuh kamu, jangan kamu mengamalkan sihir, jangan kamu memakan riba, jangan kamu menuduh melakukan zina kepada seorang wanita yang suci, jangan kamu berpaling tadah (berundur) dari medan peperangan, jangan kamu bekerja pada hari sabtu.”

Safwan berkata: “Lalu kedua Yahudi itu mencium tangan dan kaki baginda sallaLLahu ‘alaihi wasallam dan berkata : “Kami bersaksi bahawa engkau adalah seorang nabi.” Nabi sallaLLahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apakah yang menghalang kamu daripada mengikutiku?” Salah seorangnya menjawab : “Sesungguhnya Nabi Daud ‘alaihissalam pernah berdoa kepada Tuhannya supaya sentiasa mengutuskan nabi di kalangan zuriatnya, dan kami takut sekiranya kami mengikutimu, kami akan dibunuh oleh orang-orang Yahudi.”

2. Hadith yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih bahawa Ummu Aban binti Wazei’ bin Zarei’ daripada datuknya Zarei’ radiyaLLahu ‘anhu dan beliau bersama-sama di dalam rombongan qabilah Abdul Qais katanya: “Tatkala kami tiba di Madinah, kami segera meninggalkan kenderaan-kenderaan kami, lalu kami mengucup tangan dan kaki RasuluLLah sallaLLahu ‘alaihi wasallam. Tetapi al Munzir al Arsyah menunggu sehingga tibanya Utbah, lalu beliau memakai kedua pakaiannya, kemudian pergi menemui Nabi sallaLLahu ‘alaihi wasallam. Nabi bersabda kepadanya :

“Sesungguhnya pada kamu ada dua sifat yang dikasihi oleh ALLah iaitu : sabar dan lemah lembut.” Al Munzir bertanya : “Wahai RasuluLLah adakah aku yang berusaha untuk berakhlak dengan kedua-dua sifat itu atau ianya dikurniakan oleh ALlah? RasuluLLah sallaLLahu ‘alaihi wasallam menjawab : Ia dikurniakan oleh ALlah kepada kamu.” Lalu Munzir mengucap: “AlhamduliLlah yang telah mengurniakan kepadaku dua sifat yang dicintai ALlah dan rasul-Nya.”

Jika terdapat dakwaan mengatakan ia hanya dikhususkan kepada Nabi sallaLLahu ‘alaihi wasallam. Maka kami akan menjawab begini : Dakwaan ini perlulah dikemukakan bersama dalil yang menyatakan mengucup tangan dan kaki hanya khusus untuk RasuluLLah sallaLLahu ‘alaihi wasallam tetapi tidak ada satupun dalil mengenai perkara tersebut.

Prinsip asalnya ialah setiap sesuatu yang diakui oleh RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam atau dilakukan dan diucapkan oleh baginda menjadi syariat untuk baginda dan umatnya selagimana tiada dalil yang menyatakan ia dikhususkan untuk RasuluLLah sallaLlahu ‘alaihi wasallam.

Manakala pendapat yang mengatakan sekiranya diharuskan mengucup tangan atau kaki, nescaya ia membawa kepada tunduk yang dilarang. Maka jawapannya begini : Bukan semestinya setiap bentuk tunduk itu ditegah syarak, tetapi yang ditegah ialah tunduk untuk tujuan mengagungkan dan rukuk. Bukankah apabila sesuatu barang kamu jatuh ke tanah, maka kamu menundukkan badan untuk mengambilnya? Jadi, begitulah juga menundukkan badan di sini adalah untuk mengucup tangan atau kaki, bukannya untuk menyembah atau mengagungkan.

Sumber Ambilan : Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa’adi, Salah Faham Terhadap Bid’ah, al Bid’ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu’man, 2002, Kuala Lumpur

Khamis, 5 November 2009

BERMAZHAB DAN FANATIK MAZHAB: SATU SOROTAN DALAM KERANGKA AMALAN BERMAZHAB SHAFI’I MASYARAKAT MELAYU

Amalan bermazhab Shafi’i di Malaysia adalah suatu penerusan tradisi yang telah lama kerana faktor sejarahnya yang tersendiri. Perkembangan dan pertapakan Mazhab Shafi’i di negara ini adalah seiring dengan perkembangan Islam di rantau ini hasil usaha pendakwah-pendakwah yang datang ke sini. Sejarah ini merupakan sejarah yang perlu dibanggakan kerana ia telah menukar rantau ini kepada rantau Islam. Telah ditakdirkan mazhab yang datang ke nusantara ini ialah mazhab Shafi’i dan bukannya mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali. Kerana faktor sejarah ini sampai sekarang negara Malaysia masih tetap utuh dengan mazhab Shafi’i dan tidak di atasi oleh mazhab-mazhab lain.

Dengan arus idalisme tajdid fiqh yang berlaku di seluruh dunia Islam, walaupun masih di peringkat minoriti, atau laungan kembali kepada Quran dan Sunah sebagaimana generasi salaf, walaupun beberapa aspek teknikal boleh dipertikaikan, kedudukan bermazhab Shafi’i dalam bentuk pangamalan di Malaysia samada oleh individu atau pemerintah sekarang ini dilihat sudah tidak syar’i kerana dianggap bertaklid buta yang dikeji dan fanatik kepada mazhab Shafi’i. Hasilnya lahir golongan yang menolak mazhab (la mazhabiyyah) yang kesannya ialah meruntuhkan kekayaan fiqh yang telah terbina sekian lama bahkan meruntuhkan manhaj hukum yang telah dibina oleh fuqaha terdahulu. Dari sudut yang lain pula ada usaha untuk mempertahankan tradisi yang ada dengan membawa perubahan yang perlu dalam kerangka prinsip bermazhab atau pengekalan manhaj Shafi’i tetapi dengan interpretasi semasa dengan mengambil kira perubahan budaya dan uruf.

Penulisan ini bertujuan mengkaji dan menilai realiti di antara bermazhab dan fanatik mazhab dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia. Apakah kedudukan masyarakat Melayu yang bermazhab Shafi’i boleh disifatkan sebagai suatu keadaan yang diharuskan dan dipertahankan atau ia boleh disifatkan sebagai masyarakat yang fanatik mazhab yang dicela yang mesti diislahkan.

Konsep Bermazhab

Huraian konsep bermazhab dalam kertas kerja ini adalah merupakan huraian konsep taqlid dalam pengajian Usul Fiqh. Istilah bermazhab diguna pakai kerana ia lebih mudah untuk difahami dalam konteks amalan bermazhab di negara kita. Setiap individu atau negara dikatakan bermazhab dengan sesuatu mazhab tertentu kerana ia menerima pakai atau bertaqlid kepada mazhab tersebut. Oleh itu bermazhab adalah membawa maksud bertaqlid kepada mazhab yang dipegangi.

Mazhab adalah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud: “cabang ajaran Islam yang diikuti oleh umat Islam, iaitu seperti: mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Manakala perkataan bermazhab (mazhabiyyah) sebagaimana yang ditakrifkan oleh Said Ramdhan al Buti membawa maksud seseorang awam atau orang yang tidak sampai ke tahap mujtahid berpegang atau mengikut (taqlid) mana-mana aliran Imam Mujtahid samada dia berpegang dengan seorang mujtahid sahaja atau berindah-pindah antara satu mujtahid ke mujtahid yang lain dalam ikutannya itu. Takrif ini adalah hampir sama dengan takrif taqlid dalam pengajian Usul Fiqh iaitu mengambil pandangan orang lain tanpa mengetahui dalil.

Terdapat polemik yang popular dalam pengajian usul fiqh tentang kedudukan bertaqlid yang boleh dikategorikan kepada tiga pandangan:

(1) Tidak harus bertaqlid sama sekali. Wajib ke atas setiap mukallaf berijtihad sendiri mengenai urusan agamanya dan beramal berasaskan ijtihadnya. Ini adalah pandangan golongan Zahiri dan Muktazilah.
(2) Bertaqlid adalah wajib ke atas semua mukallaf selepas zaman imam-imam mujtahidin. Ini adalah pandangan Hasyawiyyah.
(3) Ijtihad adalah tidak dilarang manakala taqlid adalah haram ke atas para mujtahid. Manakala orang awam yang tidak berkeahlian berijtihad sekalipun seorang yang alim adalah wajib bertaqlid. Pandangan ini merupakan pandangan jumhur ulama dan inilah pandangan yang ditarjihkan oleh kebanyakan ulama semasa.

Penulis sangat bersetuju dengan pandangan yang ketiga di atas kerana inilah pandangan yang realistik. Bagaimana mungkin untuk meletakkan kewajipan berijtihad ke atas orang yang tidak mempunyai alat yang cukup untuk berijtihad. Syariat Islam yang mudah ini tidak mengenakan taklif ke atas orang yang tidak mampu untuk melaksanakannya. Demi untuk kemudahan orang awam melaksanakan tuntutan syara’ harus baginya bertaqlid mana-mana imam mujtahid yang diyakininya. Rentetan dari pandangan yang ketiga di atas para ulama telah membahagikan taqlid kepada dua iaitu:

(1) Taqlid yang dipuji iaitu taqlid seorang yang tidak berkelayakan untuk berijtihad lalu dia bertaqlid kepada mujtahid
(2) Taqlid yang dicela iaitu taqlid dalam perkara yang berlawanan dengan syara’ seperti bertaqlid buta kepada pemimpin atau orang tua, bertaqlid kepada seorang yang tidak diketahui samada dia berkelayakan untuk ditaqlidkan dan bertaqlid setelah ternyata dalil dan hujjah baginya bahwa orang yang ditaqlidkan itu adalah silap.

Menurut Wahbat al Zuhaili taqlid dalam kategori kedua di ataslah merupakan maksud larangan taqlid sebagaimana yang ada dalam teks-teks fuqaha yang mencela taqlid seperti larangan para imam mujtahid dari bertaqlid kepada mereka tanpa hujjah.

Bertaqlid bagi orang awam bukanlah suatu yang diluar prisip syara’ tetapi suatu keperluan baginya yang selaras dengan kehendak syara’ . Sebagai seorang Muslim tidak semuanya mampu memahami tentang agama. Malah ia perlu berpandukan kepada para ulama untuk memahami nas-nas syara’. Justeru itulah manusia diwajibkan bermazhab sebagai beramal dengan ayat Al Quran yang menyuruh umat Islam bertanya kepada ahli al zikr (orang yang tahu) sekiranya mereka tidak mengetahui. Muhammad Said Ramadhan al Buti menegaskan wajib bagi orang yang lemah (tidak dapat) berijtihad untuk bertaqlid tetapai bukan secara fanatik, yang mana harus baginya untuk beriltizam atau tidak.

Keharusan bertaqlid sebagaimana yang dihurai di atas mestilah dalam kerangka yang telah disepakati oleh para ulama sebagaimana yang dihurai oleh al Buti iaitu:
(1) Dalam persoalan taqlid tidak ada nas syara’ yang menyuruh supaya berpegang kepada mazhab secara berterusan sebagaimana juga tidak ada nas syara’ yang melarang berpindah mazhab. Dalam konteks ini al Buti menegaskan ketiadaan nas yang menyuruh beriltizam dengan mazhab tertentu bukan pula bererti haram beriltizam dengan mazhab kerana tidak wajib bukannya bermaksud haram.
(2) Apabila ternyata bagi seorang muqallid dalil-dalil syara’ dan usul ijtihad wajib baginya melepaskan diri dari pendapat imam mazhabnya. Ini yang dinamakan mujtahid mazhab. Di sini al Buti menegaskan bahawa ia bukan bermaksud menyuruh orang jahil supaya tidak bertqlid dan berpegang terus kepada Al Quran dan Sunnah.
(3) Semua para imam mujtahid adalah berada di atas kebenaran iaitu ijtihad mereka itu tidak dianggap salah di sisi Allah. Al Buti menegaskan dari sinilah asasnya bahawa bertaqlid kepada salah satu imam mazhab adalah bertaqlid di atas kebenaran. Tidak harus bagi seseorang yang berpegang kepada satu-satu mazhab untuk menganggap mazhab lain adalah salah.


Inilah prinsip asas bermazhab atau bertaqlid dalam tradisi pengajian fiqh dan usul fiqh. Sebarang pandangan yang diluar dari kerangka ini adalah menyalahi konsep bermazhab dan bertegas untuk menyalahi konsep ini adalah satu sikap fanatik yang dicela.

Berdasarkan huraian di atas mari kita lihat di mana kedudukan fanatik mazhab. Dalam istilah usul fanatik dikenali dengan taksub. Perkataan taksub berasal daripada perkataan Arab yang bererti: “tidak menerima kebenaran tentang pandangan dan pendapat orang lain yang berdasarkan dalil-dalil syarie, disebabkan kecenderungan seseorang kepada aliran tertentu. Perkataan taksub tidak terdapat dalam kamus Dewan. Apa yang terdapat didalamnya adalah perkataan “fanatik”. Fanatik bererti keterlaluan pada sesuatu pegangan atau penderian berkaitan dengan agama. Pengertian yang hampir sama juga terdapat pada perkataan “eksterim”. Kamus dewan mendifinasikan eksterim sebagai keterlaluan dan melampau. Ekstremis pula bererti orang yang sikapnya keterlaluan dan melampau dalam sesuatu hal seperti agama, politik dan sebagainya.

Menggunapakai takrif di atas boleh disimpulkan di sini bahawa amalan bermazhab sebagaimana yang dihurai di atas bukanlah bermaksud fanatik kepada mazhab yang diikut tetapi semata-mata di atas keperluan bagi orang awam yang tidak mempunyai cukup keahlian ilmu untuk berijtihad sendiri. Tuduhan bermazhab sebagai fanatik adalah tuduhan tidak berasas sama sekali berasaskan kepada maksud bermazhab atau bertaqlid sebagaimana yang diterima dalam pengajian Usul Fiqh.
Realiti yang ada ialah para imam mujtahid telah meletakkan kaedah dalam berintraksi dengan nas dan menangani masalah hukum dan usaha mereka ini telah diikut oleh orang yang tidak mampu untuk berijtihad yang telah melahirkan golongan yang berpegang kepada kaedah dan pandangan para mujtahidin tadi yang dipangil muqallid.

Mazhab Shafi’i dan kerangka pengamalannya di Malaysia

Satu kenyataan yang tidak dapat dinafikan umat Islam di Negara Malaysia secara umumnya adalah bermazhab Shafi’i. Kenyataan ini bukanlah bermaksud untuk menafikan kewujudan amalan-amalan mazhab selain Shafi’i di peringkat individu dan institusi tetapi ia merujuk kepada fakta sejarah perkembangan Islam di Malaysia dan dominasi mazhab Shafi’i dalam banyak aspek kehidupan berugama di kalangan umat Islam Malaysia.Walaupun mungkin kebanyakan masyarakat mengamalkan mazhab Shafi’i dalam kehidupan seharian secara warisan sahaja tanpa sebarang ikatan dengan maklumat ilmiah terhadap mazhab yang dianuti ia sebenarnya adalah sebahagian daripada proses pengukuhan mazhab Shafi’i dalam masyarakat Islam di Malaysia. Paling kurang kenyataan bahawa Malaysia bermazhab Shafi’i boleh dipertahankan atas alasan ia telah di institusikan dalam bentuk resmi melalui fatwa-fatwa yang dikeluarkan dan enakmen pentabiran agama negeri-negeri yang menggunapakai mazhab Shafi’i secara meluas dengan sedikit pengecualian kepada negeri Perlis. Kedudukan yang resmi ini sudah cukup untuk membuktikan kenyataan di atas. Penerimaan secara resmi oleh sesebuah kerajaan terhadap sesuatu aliran sudah tentu memberi kesan secara langsung dari segi pengamalannya di peringkat rakyat.

Sejarah Perkembangan

Dari sudut sejarah, perkembangan Islam di Tanah Melayu adalah sebahagiannya bermula dari pendakwah-pendakwah yang datang dari Pasai (Perlak) yang mana Pasai pada ketika itu merupakan pusat pengajian Islam dan juga penyebaran dakwah Islam ke Melaka, Jawa dan Patani. Riwayat Ibn Batutah ada mencatatkan penguasaan Mazhab Shafi’i ke atas Raja Pasai (Perlak) al Malik al Zahir (1326-1350M) yang mana sebelum daripada itu ia dikuasai oleh golongan Syiah. Disebut dalam sejarah tokoh yang bertanggungjawab membawa aliran sunni Shafi’i ke rantau ini ialah Syeikh Ismail Siddiq yang diutus khas dari Mekah oleh Syarif Mekah ke Pasai. Pertapakan Mazhab Shafi’i semakin kuat di negeri tersebut semenjak itu dan dari situlah berkembangnya Mazhab Shafi’i ke Tanah Melayu selari dengan perkembangan Islam. Ada kajian yang mengatakan penyebaran Mazhab Shafi’i oleh Sheikh Ismail Siddiq adalah suatu usaha yang dirancang demi untuk mengubah fahaman Syiah yang dianuti penduduk Pasai yang pada masa itu berada di bawah pemerintahan kerajaan Mamluk Turki (1252-1517M).

Dalam konteks perkembangan Islam di Tanah Melayu kedatangan mazhab Shafi’i ke Melaka mempunyai kaitan dengan Pasai iaitu ia dibawa oleh Sayyid Abdul Aziz sebagai pendakwah dan beliau mempunyai pertalian dan hubungan dengan Syeikh Ismail Siddiq. Mereka berdua berasal dari Semenanjung Tanah Arab yang ketika itu merupakan wilayah Islam di bawah pengaruh mazhab Syafi’i. Dari catatan sejarah ini boleh disimpulkan perkembangan Mazhab Shafi’i di Tanah Melayu adalah bermula dari Pasai yang menyaksikan juga terhapusnya dominasi Syiah di rantau tersebut. Perkembangan ini turut dipacukan juga kemudianya dengan peranan pendakwah Arab yang datang dari Hadramaut yang bermazhab Shafi’i.

Fakta sejarah ini juga sebenarnya diakui oleh ahli-ahli sejarah Barat yang menulis mengenai kedatangan Islam ke nusantara yang mana mereka menerima Mazhab Shafi’i sebagai mazhab paling dominan dalam pengajian fiqh di nusantara. Perkembangan mazhab ini bukan sahaja di peringkat amalan seharian tetapi juga sampai ke peringkat undang-undang. Dari sudut pembuktian sejarah dalam konteks ini boleh dikesan seawal pembentukan Hukum Kanun Melaka di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1445-1450M) yang mana pada keseluruhannya adalah berasaskan fiqh Mazhab Shafi’I dengan tidak menafikan ada unsur percampuran dengan undang-undang adapt. Kanun Melaka ini kemudiannya mempengaruhi pembentukan Undang-undang Johor, Undang-undang Pahang, Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan Perak dan Undang-undang Sungai Ujong. Pengaruh mazhab Shafi’i dalam undang-undang yang dibentuk di zaman kesultanan melayu Melaka dan seterusnya ke negeri-negeri lain adalah menggambarkan sejauh mana penguasaan mazhab tersebut dalam masyarakat pada masa tersebut dan juga di peringkat pemerintah.

Pengaruh karya-karya fiqh Shafi’i di Malaysia

Pengukuhan Mazhab Shafi’i di alam Melayu juga boleh dilihat dengan jelas sekali berdasarkan karya-karya fiqh Mazhab Shafi’i yang banyak mempengaruhi pengajian masyarakat Melayu di surau dan madrasah. Antara yang masyhur ialah kitab Minhaj al Talibin karangan Imam al Nawawi yang dikatakan dibawa masuk ke nusantara pada abad ke 13 yang kemudiannya di kembangkan di Melaka secara khususnya selari dengan perkembangan Islam. Selain Minhaj al Talibin kitab-kitab fiqh Shafi’i yang lain seperti Muhazzab bagi Syirazi juga turut dijadikan teks pengajian pada zaman awal kemasukan Islam ke Tanah Melayu. Dalam perkembangan seterusnya kita juga melihat semakin banyak kitab-kitab Fiqh Shafi’i dibawa masuk dan dipelajari atau dijadikan rujukan sehingga hari ini seperti Tuhfat al Muhtaj bagi Ibn Hajar, Nihayat al Muhtaj bagi al Ramli, Mughni al Muhtaj dan al Iqna’ bagi al Syarbini, Fath al Wahhab bagi Zakariya al Ansari, al Ashbah wa al Nazair bagi Suyuti, Fath al Mu’in bagi Zain al Din al Malibari dan lain-lain. Kitab-kitab ini telah menguasai dunia ilmiah di Malaysia sejak sekian lama samada sebagai teks pegajian atau sumber rujukan dalam fatwa dan kodifikasi undag-undang.

Di samping kitab-kitab Arab terdapat juga karya-karya fiqh yang dihasilkan oleh ulama nusantara yang menjadi rujukan dalam masyarakat melayu. Seawal abad ke 17Masehi nusantara menyaksikan penghasilan karya-karya fiqh dalam Mazhab Shafi’i terutamanya dari Acheh dan Pattani yang kemudiannya tersebar ke Tanah Melayu. Syeikh Abdul Rauf Singkel adalah antara yang terawal menghasilkan kitab fiqh Shafi’i dalam bahasa Indonesia yang bertajuk Mir’at al-Tullab fi Tashil Ma’rifah Ahkam al-Syar’iyyah li Malik al-Wahhab yang bersumberkan kitab-kitab muktabar mazhab al-Syafii. Ulama besar dari Kalimantan iaitu Muhammad Arsyad al-Banjari menulis kitab Sabil al-Muhtadin di atas permintaan Sultan Banjar yang juga berasaskan fiqh Shafi’i. Kitab Sirat al-Mustaqim tulisan Sheikh Nuruddin al-Raniri merupakan teks fiqh terawal di Alam Melayu yang banyak memberi sumbangan dalam pengukuhan mazhab Syafi’i. Di samping itu kitab-kitab Syeikh Daud al Fattani seperti kitab Furu’ al Masail, Bughyat al Tullab, Munyat al Musalli, Sullam al Mubtadi dll adalah antara kitab-kitab yang beredar di kalangan masyarakat melayu dahulu dan sekarang yang sudah tentu begitu kuat menanamkan pengaruh Mazhab Shafi’ dalam masyarakat. Kitab-kitab ini bersumberkan kitab-kitab muktabar dalam mazhab al-Syafi’i seperti yang telah disebutkan di atas. Walaupun dari segi kenyataannya kitab-kitab ini banyak beredar di peringkat pondok dan madrasah tetapi pengaruhnya cukup kuat kerana ia sangat dekat dengan masyarakat umum berbanding dengan peringkat lain dalam pengajian.

Selain dari kitab-kitab klasik di atas kitab-kitab baru yang bermazhab Shafi’i juga mendapat tempat dalam masyarakat melayu sekarang. Antara yang popular pada masa kini ialah kitab Fiqh Shafi’i yang merupakan terjemahan kepada kitab al Fiqh al Manhaji ‘ala al Mazhab al Shafi’i karangan Mustapha al Bugha, Mustapha al Khin dan Ali al Syarabji. Kitab ini banyak dijadikan teks untuk kuliah-kuliah awam di masjid-masjid dan surau bahkan di peringkat universiti.

Kitab-kitab fiqh mazhab Shafi’i inilah juga yang menjadi rujukan dalam penyediaan buku-buku pengajian Islam di sekolah-sekolah rendah dan menengah kebangsaan di bawah kementerian pelajaran Malaysia dan juga buku-buku KAFA yang mana kurikulumnya adalah berasas kepada mazhab Shafi’i. Sebenarnya kurikulum pengajian ini yang banyak menyumbang kepada pengukuhan Mazhab Shafi’i di Malaysia kerana ia merupakan fiqh peringkat asas kepada seseorang Muslim yang melibatkan amalan sehariannya.

Mazhab Shafi’ dalam perundangan dan fatwa

Kedudukan Mazhab Shafi’i di Malaysia diperkukuhkan lagi melalui peruntukan undang-undang melalui enakmen negeri-negeri. Mengambil kira sejarah perkembangan Mazhab Shafi’i di Malaysia pihak berkuasa negeri telah mengambil langkah dengan lebih jelas iaitu menerimapakai mazhab Shafi’i dalam fatwa-fatwa negeri. Sebagai contoh Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan dalam
Seksyen 39:

(1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 34, atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 38, mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan-pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Shafi’i.
(2) Jika Mufti berpendapat bahawa dgn mengikut qaul muktamad Mazhab Shafi’i akan membawa kepada keadaan yangg berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.
(3) Jika Mufti berpendapat bahawa tiada satu pun qaul muktamad daripada empat mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah menyelesaikan persoalan itu mengikut hematnya sendiri tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana Mazhab yang empat itu.

Jelas dari peruntukan di atas keutamaan mazhab Shafi’i dalam fatwa berbanding dengan mazhab lain. Satu-satunya perkara yang diambil kira untuk menerimapakai mazhab selain Shafi’i ialah kepentingan awam. Ini adalah satu bentuk siyasah syariyyah daripada pihak pemerintah demi untuk menjaga kemaslahatan keharmonian hidup beragama di Negara kita yang telah sebati dengan mazhab Shafi’i dengan pada masa yang sama memberi ruang kepada mazhab lain dalam fatwa jika ada kepentingan awam. Kaedah penyeragaman ini sangat perlu diambil perhatian oleh semua pihak agar keharmonian hidup masyarakat Islam tidak tergugat dengan pendapat-pendapat yang lain dari Mazhab Shafi’i yang tidak perlu diketengahkan untuk masyarakat awam.

Dalam perkembangan yang sama Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan telah memutuskan beberapa ketetapan seperti berikut:
(1) semua fatwa yang diputuskan mestilah berdasarkan kepada qawl yang muktabar dalam mzhab Shafi’i. Jika hendak beramal dengan qawl dari mazhab lain maka perlu mendapat restu dariada Yang di Pertuan Agong
(2) umat Islam tidak dipaksa beramal dengan mazhab Shafi’i bahkan boleh beramal dengan mana-mana mazhab lain yang disukai dengan syarat mereka tidak boleh menyalahkan orang-orang yang beramal dengan mazhab Shafi’i.
(3) mazhab-mazhab lain tidak boleh diajar atau disyarah secara terbuka di khalayak ramai namun boleh diajar di majlis-majlis pelajaran
(4) menjadi satu kesalahan jika mengajar mazhab lain selain daripada mazhab Shafi’i secara terbuka
(5) jika fatwa telah dikeluarkan berasaskan kepada mazhab Syafi’i, maka tiada sesiapa pun boleh membantahnya dengan menggunakan hujah daripada mazhab yang lain

Selain daripada itu Jakim telah menerima pakai cadangan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam agar penyebaran fahaman-fahaman selain Mazhab Shafi’i hendaklah dikawal bagi tujuan membendung fahaman yang boleh mengelirukan masyarakat yang tidak terdedah dengan perbezaan mazhab-mazhab. Cadangan ini telah diperkenan oleh Mesyuarat Majlis Raja-raja ke 133 (khas) pada 3 disember 1984.

Apa yang jelas dari peraturan ini ialah untuk menjaga orang awam dari terdedah kepada kekeliruan aliran mazhab yang berbagai. Dengan kedudukan mazhab Shafi’i yang telah sebati dalam khidupan mereka tentunya akan timbul kekeliruan jika mazhab lain turut didedahkan kepada awam.


Bermazhab bukan fanatik mazhab

Kedudukan Mazhab Shafi’i di Negara ini sebagaimana yang dibentangkan di atas adalah hasil perkembangannya dalam sejarah yang panjang. Perkembangan mazhab menyebabkan bertapaknya mazhab Shafi’i dan akhirnya membentuk keseragaman yang murni dalam masyarakat. Sejarah yang sama berlaku di mana-mana tempat di seluruh dunia Islam semenjak dari perkembangan mazhab di peringkat awal lagi. Di Iraq contohnya untuk sekian lama penduduk Islamnya bermazhab dengan mazhab Abdullah bin Mas’ud, di Hijaz dengan mazhab Abdullah bin Umar, di Mekah Ata’ bin Rabah dan Mujahid mendominasi fatwa-fatwa untuk sekian lama sehingga khalifah mengarahkan supaya segala fatwa hendaklah diserahkan kepada dua orang tokoh ini. Jika amalan bermazhab ini dikatakan sebagai fanatik maka tidak ada tempat di dalam dunia Islam yang bebas dari fanatik mazhab. Ia adalah proses biasa dalam mana-mana tempat berkembangnya sesuatu mazhab. Bahkan boleh berlaku sesuatu tempat yang dikuasai oleh sesuatu mazhab akan bertukar penguasaannya oleh mazhab lain. Di Mesir umpamanya sebelum kedatangan Imam Shafi’ mazhab yang berkembang di situ ialah mazhab Malik, tetapi akhirnya mazhab Shafi’i mendominasi masyarakat Islam di situ hasil usaha murid-murid beliau yang memperkembangkan fiqhnya. Apa yang penting dipelajari ialah proses pertukaran mazhab itu berlaku dengan harmoni tanpa dipaksa ke atas masyarakat. Ia berlaku secara natural tanpa ada unsur paksaan atau tekanan. Sebarang tekanan atau paksaan akan menimbulkan reaksi yang tidak baik kepada masyarakat dan mungkin akan berlaku fanatik dalam mempertahankan mazhab masing-masing.

Walaubagaimanapun anjakan paradigma tetap berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia sekarang ini. Di peringkat pengajian tinggi, pengajian berorientasikan satu mazhab sahaja kelihatan sudah hilang. Sebagai gantinya pengajian fiqh secara perbandingan mazhab sudah diperkenalkan. Pendedahan kepada pelbagai pandangan dalam mazhab sudah boleh diterima secara umum sekurang-kurangnya di peringkat universiti dan ini menunjukkan unsur fanatik tidak wujud dalam amalan bermazhab di Malaysia. Walaupun secara resminya bermazhab Shafi’i tetapi penerimaan kepada mazhab lain dalam konteks pengajian berkembang dengan baik dan lancar. Pendedahan ini sangat penting agar tidak timbul soal fanatik dalam bermazhab dan supaya pemikiran lebih maju ke hadapan. Dalam dunia yang global ini pertembungan budaya hasil perbezaan mazhab sangat mudah berlaku. Di sinilah pentingnya pengajian berorientaikan perbandingan mazhab supaya tidak timbul kekecohan dalam pertembungan tadi. Di masa yang sama kita masih mempertahankan pengajian bermazhab Shafi’i di peringkat rendah dan menengah serta yang berbentuk umum sesuai dengan tahap pemikiran peringkat tersebut. Sekali lagi ditekankan ini bukan bermaksud fanatik mazhab tetapi demi untuk perkembangan pengajian pelajar agar pengetahuannya tentang fiqh dan manhaj mazhab terarah dengan baik dan sesuai dengan tahapnya.

Dalam fatwa pula perkembangan yang berlaku di zaman mutakhir ini menunjukkan pemakaian mazhab selain Shafi’i sudah banyak diadoptasikan. Walaupun dari segi peraturannya keutamaan diberikan kepada mazhab Shafi’i tetapi ternyata perkembangan semasa sekarang menuntut supaya kepentingan awam diutamakan. Dan ini sebenarnya masih selari dengan garis panduan fatwa yang diberikan di atas yang mana kepentingan awam diberi keutamaan. Garis panduan tersebut walaupun menampakkan unsur dominasi mazhab Shafi’i tetapi kelonggaran tetap diberikan. Hasil daripada ini kita lihat banyak fatwa-fatwa seperti fatwa berkait istibdal harta wakaf, zakat dan sebagainya yang melibatkan survival umat Islam telah tidak mengambil kira pandangan mazhab Shafi’i. Faktor budaya dan uruf setempat juga perlu diambil kira dalam berfatwa. Dalam masa yang sama usaha tajdid manhaj Shafi’i boleh digunapakai dalam menyelesai masalah-masalah baru dengan kerangka mazhab Shafi’i.

Proses yang sama berlaku dalam perbankan Islam yang mana demi kemudahan urusan orang ramai pandangan-pandangan dari mazhab lain turut diambil kira dan disesuaikan dengan keperluan tempatan . Ini semua berlaku dalam kerangka amalan bermazhab Shafi’i di negara ini yang mana penerimaannya telah terserap dengan harmoni dalam masyarakat Islam Malaysia. Oleh itu tidak wujud fanatik mazhab melihat kepada perkembangan yang berlaku.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas ternyata bahawa mazhab Shafi’i adalah bertapak dengan kukuh dalam masyarakat Islam negara kita. Amalan bermazhab ini adalah satu keperluan dan tidak boleh diganggu gugat dengan aliran tidak bermazhab kerana banyak masalah yang akan timbul. Sejarah yang berlaku perlu diambil kira dalam kita membuat apa-apa tindakan yang berkait dengan mazhab di negara ini. Amalan yang berlaku adalah bukannya berasas kepada fanatik mazhab tetapi atas asas bertaqlid kepada imam mujtahid yang berkelayakan untuk berijtihad. Perkembangan-perkembangan yang berlaku dari segi peraturan, fatwa dan sebagainya adalah dalam kerangka tersebut demi menjaga perpaduan masyarakat dan mengambil kira sejarah yang membawa kepada kedudukan hari ini. Aliran tidak bermazhab yang diluar kerangka sebagaimana yang ada sekarang tidak boleh diberi ruang dalam negara ini kerana ia akan menghasilkan puluhan mazhab yang lain. Perselisihan pendapat adalah suatu yang tidak boleh dielak tetapi dalam kerangka bermazhab sekarang ini perselisihan boleh diminimakan dengan syarat tidak ada unsur fanatik.

Khamis, 10 September 2009

UMAT BERTANYA ULAMA MENJAWAB

UMAT BERTANYA ULAMA MENJAWAB
Pertanyaan:

Saya telah mengetahui bahwa Lailatul Qadar merupakan malam yang istimewa. Orang yang beribadah pada malam itu nilai ibadahnya lebih baik daripada 1000 bulan (83 tahun 4 bulan) sebagaimana tercantum dalam Al-Qur'an surat Al-Qadr. Namun yang ingin saya tanyakan, siapakah yang pernah melihat Lailatul Qadar?-

Jawaban:
Orang yang pernah melihat Lailatul Qadar antara lain:

Nabi Muhammad Saw.
Dalam Shahih Bukhari terdapat sebuah hadis yang artinya di bawah ini:
"Rasulullah Saw. bersabda, "Sesungguhnya aku pernah diperlihatkan Lailatul Qadar. Kemudian aku diberi lupa atau dilupakannya. Maka hendaklah kalian mencarinya pada sepuluh hari yang terakhir (bulan ramadhan) pada malam ganjil." (Riwayat Imam Bukhari dari Adi Sa'id r.a.; Shahih Bukhari, Juz I, halaman 343).


Para Sahabat Nabi
Dalam kitab hadis Al-Lu'li' wal-Marjan karya Syekh Muhammad Fuad Abdul Baqi terdapat sebuah hadis shahih berikut ini:
"Dari Ibnu Umar r.a. beliau berkata, "Bahwasanya ada beberapa orang dari sahabat Nabi Saw. yang telah diperlihatkan kepada mereka Lailatul Qadar." (Riwayat Bukhari dan Muslim; kitab Al-Lu'lu' Wal-Marjan Fimat-Tafaqa 'Alaihisy Syaikhan, juz II, halaman 24; atau Shahih Bukhari, juz I, halaman 343; dan Shahih Muslim, juz I, halaman 375)


Para Ulama
Banyak ulama yang pernah melihat Lailatul Qadar, hanya mereka tidak mengungkapkannya.
Sepengetahuan kami, ulama yang telah melihat Lailatul Qadar ialah Imam Nawawi berdasarkan penuturan ayahandanya. Dalam kitab-kitab yang membahas biografi Imam Nawawi, tertulis sebagai berikut:

"Ayahnya telah menuturkan bahwa Imam Nawawi pernah tidur di sampingnya ketika beliau baru berumur tujuh tahun. Pada malam kedua puluh tujuh dari bulan Ramadhan, sekitar pukul dua belas malam beliau bangun dari tidurnya, seraya berkata, 'Ayahanda, cahaya apa ini yang memenuhi rumah?' Kemudian kami semua bangun, namun kami tidak melihat apa-apa. Akhirnya saya ketahui bahwa malam itu adalah malam Al-Qadar (Lailatul Qadar)."
Riwayat ini dapat kita baca dalam kitab-kitab berikut:
Mukadimah kitab Dalilul Falihin, oleh Syekh Mahmud Hasan Rabi', halaman 7
Mukadimah kitab Syarah Shahih Muslim, oleh Imam Ibnus Subki, halaman 8
Yas-alunaka Fiddin Wal-Hayat, oleh Dr.Syekh Ahmad Asy-Syarobashi, juz V, halaman 184

Berkenaan dengan soal "apakah benar Lailatul Qadar itu dapat dilihat?" dan "apakah benar banyak ulama yang telah melihatnya?", Imam Nawawi sendiri menuturkan sebagai berikut:

"Ketahuilah bahwa Lailatul Qadar itu ada, sebagaimana keterangan yang lalu di awal bab. Sebenarnya Lailatul Qadar itu dapat dilihat dan diketahui secara nyata dan meyakinkan oleh siapa saja yang dikehendaki Allah Ta'ala dari anak cucu Adam setiap tahun bulan Ramadhan, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadis-hadis yang lalu dalam bab ini. Mengenai riwayat orang-orang saleh yang berkenaan dengan soal Lailatur Qadar dan mereka sendiri sering melihatnya sehingga tidak perlu diungkapkan lagi. Adapun pendapat Al-Qadhi Iyadh yang diterima dari Al-Muhallab bin Abi Shufrah yang mengatakan bahwa Lailatul Qadar itu tidak mungkin dapat dilihat secara hakiki, maka ucapannya itu betul-betul keliru. Saya memperingatkan hal ini dengan tujuan agar orang tidak terkecoh oleh pendapat tadi. Wallaahu a'lam'. (Kitab Shahih Muslim, juz VIII, halaman 66)

Penuturan Imam Nawawi ini, dapat pula kita baca dalam kitabnya yang lain, yakni Al-Majmu' Syarah Al-Muhadzdzab. Namun, dalam kitab ini beliau menambahkan penjelasannya sebagai berikut:

"Pengarang kitab Al-Hawi berkata, "Disunatkan bagi orang yang melihat Lailatul Qadar agar menyembunyikannya (tidak usah diceritakan kepada orang lain), berdoa dengan penuh ikhlas dan niat baik serta keyakinan yang benar, memohon (kepada Allah) apa saja yang ia inginkan, baik masalah agama atau dunia. Doanya itu hendaknya diperbanyak demi kebahagiaan dunia dan akhirat,"
(Kitab Al-Majmu' Syarah Al-Muhadzdzab, juz VI, halaman 461)

Imam Asy-Syaukani memberikan komentar sebagai berikut:
"Dan dikatakan bahwa orang yang mengetahui Lailatul Qadar itu melihat segala sesuatu bersujud. Dan dikatakan pula ia melihat cahaya memancar pada setiap tempat hingga di tempat-tempat yang gelap. Dan dikatakan pula ia mendengar ucapan salam atau seruan dari malaikat. Dan dikatakan pula bahwa diantara tanda Lailatul Qadar ialah dikabulkannya doa bagi orang yang kebetulan mendapatkannya." (Kitab Nailul Authar, juz IV, halaman 372)

Selanjutnya Imam Asy-Syaulani dalam kitab tersebut mengutip pula ucapan Imam Ibnul Munir sebagai berikut:

"Janganlah seseorang berkeyakinan bahwa Lailatul Qadar itu tidak ditemukan kecuali orang yang melihat keanehan-keanehan (pada malam itu). Yang benar ialah, bahwa karunia Allah itu amat luas. Tidak sedikit orang yang tekun beribadah malam itu, namun tidak melihat hal-hal yang aneh; sementara orang lain melihat bermacam-macam keanehan, padahal pada malam itu ia tidak beribadah. Orang yang tekun beribadah pada malam itulah yang lebih utama (sekalipun tidak melihat hal-hal yang aneh). Adapun yang dijadikan pegangan (dalam hal menemukan dan tidaknya Lailatul Qadar) ialah segi istiqomah beribadah, bukan hal-hal yang aneh, sebab ada kalanya keanehan tersebut sebagai karamah bagi orang yang melihatnya tetapi ada kalanya pula sebagai fitnah,"

Selasa, 28 Oktober 2008

NABI SAW MENINGGALKAN SESUATU PERBUATAN TIDAK SEMESTINYA PERBUATAN TERSEBUT HARAM @ MAKRUH

Oleh :
Shaykh al-Muhaddith Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari


Ramai di kalangan muta’akhir ini bersikap keras kepala (mutanatthi’in) dan menyemempitkan pemikiran mereka (mutazammittin). Lantaran yang mengambil pendekatan melampau dalam mengharamkan atau mencela sesuatu yang ditinggalkan Nabi SAW dan para Salafus Soleh. Walaupun mereka ketiadaan hujjah, atau tiada Hadith mahupun Athar yang melarang sesuatu amalan yang ditinggalkan itu. Samada larangan tersebut berstatus Haram atau Makruh.

Apa jua yang ditinggalkan oleh Nabi SAW mempunyai banyak alasan-alasan yang tidak pun bertujuan pengharamannya. Bahkan kekadang ia menjustifikasikan hukum yang harus untuk dilakukan. Keterangan ini boleh difahami berdasarkan beberapa faktor:

[1] ADAT (al-Urf) : Nabi SAW tidak memakan dhabb yang dibawa kepadanya kerana ia tidak ditemui di tempatnya. Namun Baginda SAW tidak melarangnya apabila ditanya. Dua hukum boleh diambil dari peristiwa ini:

a) Peninggalan sesuatu walaupun setelah Baginda SAW dimaklumkan, bukanlah menunjukkan ianya diharamkan;

b) Walaupun sesuatu itu jijik pada pandangan Baginda SAW, namun ia tidak dipandang jijik oleh sebahagian sahabat Baginda SAW. Dan situasi ini tidak semestinya membawa kepada pengharamannya;

[2] LUPA (al-Nisyan) : Nabi SAW pernah terlupa dalam Solatnya dan meninggalkan sesuatu, lalu ditanya: “Adakah sesuatu perubahan pada Solat?” Maka jawab Baginda SAW: “Sesungguhnya aku manusia biasa, aku lupa sepertimana kamu lupa, jika aku lupa peringatkanlah daku.”

[3] TAKUT DIFARDHUKAN: Baginda SAW meninggalkan Solat Terawih berjemaah apabila para sahabat berkumpul untuk mengerjakannya bersama-sama Baginda SAW. Baginda SAW meninggalkan amalan tersebut dikhuatiri amalan berkenaan dianggap wajib oleh umatnya.

[4] TIDAK PERNAH TERLINTAS: Baginda SAW meninggalkan sesuatu kerana tidak pernah terfikir atau terlintas akan kepentingan hal itu. Contohnya, Nabi SAW pada awalnya berkhutbah di atas batang kurma, tidak pernah terlintas di fikiran Baginda untuk menggunakan kerusi/mimbar ketika berkhutbah, dan apabila diajukan cadangan untuk membina mimbar agar Baginda berkhutbah di atasnya, Baginda bersetuju kerana ia lebih berkesan. Dalam kes yang lain, dicadangkan kepada Baginda SAW agar dibuatkan tempat duduk khas untuk Baginda SAW agar rombongan asing mengetahui bahawa itulah Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW bersetuju dengan cadangan mereka itu walaupun Baginda sendiri tidak pernah terfikir tentangnya;

[5] TERMASUK DALAM PERINTAH UMUM: Ada suatu perkara yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW disebabkan perkara berkenaan sudah termasuk dalam perintah Am ayat-ayat al-Qur’an dan al-Hadith, yang menganjurkan melakukan pelbagai amalan-amalan baik ((perlakulah olehmu semua akan kebaikan, moga-moga kamu beroleh kejayaan)). Termasuklah sepertimana Baginda meninggalkan Solat Dhuha, dan amalan-amalan sunat lain yang banyak.

[6] MENINGGALKAN KERANA KHUATIR HATI PARA SAHABAT BELUM TEGUH : Nabi SAW pernah berkata kepada Sayyidatina ‘Aisyah RA bahawa: “Jikalau tidak kerana kaummu ini baru sahaja meninggalkan kekufuran, nescaya aku robohkan Kaabah ini dan bangunkan kembali atas asas Nabi Ibrahim AS”.

Tindakan Nabi SAW untuk “tidak meruntuhkan Kaabah dan tidak membangunkannya kembali” adalah demi menjaga hati-hati para Sahabatnya dari kalangan ahli Makkah. Justeru, apabila tidak ada Hadith atau Athar yang jelas terhadap sesuatu yang ditinggalkan Nabi SAW maka hukumnya tidak menjadi Haram atau Makruh.

Peninggalan Tidak Bermaksud Haram

Peninggalan semata-mata tanpa ada Nas atau kaedah yang jelas menyatakan peninggalan itu diharamkan tidak boleh dijadikan hujjah (bahawa peninggalan itu kerana pengharamannya) Hanya beralasankan sesuatu amalan itu ditinggalkan oleh Baginda SAW. Oleh itu, tidak memadai untuk dihukumkan sesuatu amalan yang ditinggalkan Nabi SAW itu Haram, sebaliknya sesuatu yang didakwa haram itu perlu didatangkan dalil jelas. Di mana dalil tersebut ‘benar-benar’ berfungsi menunjukkan bahawa peninggalan itu kerana pengharamannya. –Petikan dari Kitab al-Radd al-Muhkam al-Matin

Jumaat, 27 Jun 2008

Baca Yasin amalan jahiliah?

DI KEBANYAKAN rumah ibadat, sama ada masjid atau surau, Yasin dibacakan pada malam Jumaat diikuti istighfar, tahlil dan doa malah apabila menghadapi orang sakit tenat dan kematian, surah itu dibaca berulang kali.

Namun, ada sesetengah pihak mempertikaikan amalan itu, kononnya tiada dalam anjuran agama, malah mereka menganggap sebagai amalan jahiliyah yang sepatutnya ditolak.

Pendapat seumpama itu boleh menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat Islam. Jika dibuka sejarah Islam, memang amalan itu tidak dilakukan Rasulullah s.a.w.

Justeru, apakah perbuatan yang dilakukan umat Islam sejak sekian lama itu sia-sia atau perlukah amalan membaca Yasin pada malam Jumaat dan ketika seseorang sakit tenat serta meninggal dunia dihentikan?

Umum mengetahui Yasin adalah satu surah dalam al-Quran justeru, kita tidak terkecuali daripada membacanya.

Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin al-Ghari, berkata Yasin antara surah yang terpenting dalam al-Quran.

Beliau berkata, ini terbukti apabila Nabi Muhammad s.a.w menyifatkan surah itu jantung al-Quran.

“Pernyataan Rasulullah s.a.w itu menyebabkan naluri hati kita ghairah membacanya dengan sempurna, secara beramai-ramai di masjid atau di surau.

“Pembacaan ini lazimnya dipimpin seorang imam atau syeikh dan dilakukan pada malam Jumaat,” katanya.

Mengenai dakwaan amalan itu perbuatan zaman jahiliyyah dan tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w, beliau berkata ia dilakukan oleh mereka yang tidak faham dan sengaja mahu menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat Islam.

“Inilah sebahagian bentuk amalan yang sudah lama difahami, diamal dan dijadikan tradisi dalam masyarakat Melayu kita di Nusantara.

“Amalan ini banyak mendatangkan kebaikan dan mencegah seseorang itu daripada melakukan perkara yang sia-sia, maksiat dan dosa.

“Pendek kata, amalan membaca Yasin umpamanya mempunyai khasiat lapan dalam satu, manakala pihak yang mencela golongan mengamalkan bacaan Yasin secara hakikatnya berada jauh dari rahmat Allah.

“Mereka seakan buta hakikat dan buta makrifat. Hanya Allah jua yang merahmati hamba-Nya yang menyukai kebaikan dengan menyintai-Nya,” katanya.

Surah Yasin satu daripada surah yang dimulakan dengan huruf abjad dan dinamakan dengan demikian kerana ia dimulakan dengan lafaz Yasin, termasuk dalam surah Makkiyyah dan diturunkan sesudah surah al-Jin dengan 83 ayat. Ada pendapat mengatakan ia mengandungi 82 ayat.

Amalan membaca surah Yasin mempunyai banyak kelebihan, sebagaimana diterangkan melalui hadis Nabi Muhammad s.a.w.

Imam al-A’jiri menyebut satu riwayat dari Ummul Darda, Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Mana-mana mayat yang dibacakan padanya surah Yasin, nescaya Allah akan mempermudahkan kematiannya.”

Abu Hurairah meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang membacakan surah Yasin pada satu malam bertujuan mencari keredaan Allah nescaya Allah akan mengampunkannya pada malam berkenaan.”

Anas bin Malik meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Setiap sesuatu mempunyai hati, hati al-Quran adalah Yasin. Sesiapa membaca surah Yasin, nescaya Allah akan menulis pahala membaca al-Quran baginya sebanyak 10 kali.”

Imam al-Sya’labi menyebutkan satu riwayat dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa membaca surah Yasin pada malam Jumaat nescaya dia akan diampunkan Allah.”

“Terdapat beberapa hadis menunjukkan kelebihan membaca surah tertentu di dalam al-Quran sebagaimana diisyaratkan Imam al-Nawawi dalam kitabnya Riyadh al-Solihin,” kata Zamihan.

Dalil umum ini menggalakkan umat Islam membaca mana-mana surah di dalam al-Quran. Ia turut merangkumi surah Yasin memandangkan ia satu surah di dalam al-Quran.

“Perhatikanlah kepada sanad dan matannya secara terperinci. Sekiranya dalil terbabit muncul dengan sanad yang lemah, ia dapat dijadikan hujah kerana masih ada sanad sahih menjelaskan kelebihannya.

“Manakala sanad yang daif tadi jika dihimpun dan dihubungkan dengan kesaksian yang lain nescaya ia akan mencapai taraf hasan sebagaimana diperakui oleh ulama hadis seperti Imam al-Tirmidzi dan selainnya,” katanya.

Surah ini mempunyai banyak intipati yang sepatutnya direnung dan dihayati di samping membacanya, seperti kritikan dan penjelasan sikap kaum musyrikin (ayat 7 -12, 60-68), iaitu menggesa kita mengikis hati dari sifat keji.

Turut diceritakan bukti kewujudan hari berbangkit (ayat 31-54), perbincangan mengenai ilmu, rahmat dan kekuasaan Allah yang tidak terbatas (ayat 71-83) dan sifat syurga yang disediakan untuk orang beriman (ayat 55-59).

“Selepas kita memahami dan menyedari kedudukan al-Quran, kandungan surah Yasin, tuntutan, galakan dan kelebihannya, kita perlulah membina penghayatan yang mantap dalam diri kita.

“Ternyata kepada kita, amalan membaca surah Yasin bukan sesuatu yang diharamkan ataupun dihukum sesat dalam agama. Bahkan ia satu kelebihan dalam usaha mendekatkan diri kepada Tuhan,” katanya.

Rabu, 21 Mei 2008

Islam larang meminta-minta

oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Syeikh Sya’rawi berkata, selepas Allah menceritakan berkenaan dengan sedekah yang diperintahkan Allah supaya dilaksanakan kerana Allah dan sudah pasti Allah tidak menzaliminya. Kemudian Allah menceritakan pula berkenaan dengan nafkah yang sepatutnya diagihkan pada permulaan Islam.

Firman Allah: (Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri dari minta-minta.

Ibn Kathir berkata, ini kepada golongan Muhajirin yang fakir yang menetap di Madinah, tidak mempunyai sumber pencarian diri dan boleh mengkayakan mereka. Begitu juga tidak mampu bermusafir untuk mencari kehidupan dan pada saat yang sama tidak meminta-minta sedangkan orang jahil menyangka bahawa mereka kaya.

Sayyid Qutub berkata: “Dahulu sifat yang menarik ini menjadi sifat sekumpulan orang-orang muhajirin. Mereka meninggalkan harta benda dan keluarga mereka di Mekah untuk menetap di Madinah. Mereka tumpukan diri mereka untuk berjihad di jalan Allah dan mengawal Rasulullah SAW seperti ahli suffah yang tinggal di pinggir masjid untuk menjaga rumah-rumah Rasulullah SAW supaya tidak dicerobohi musuh.

“Mereka telah tumpukan untuk berjihad dan kerana itu mereka tidak dapat merantau kerana berniaga dan mencari rezeki. Namun demikian, mereka tidak meminta-minta sesuatu dari orang lain, mereka menahan diri dari meminta sehingga orang-orang yang tidak mengetahui keadaan mereka menyangka bahawa mereka adalah orang-orang kaya kerana mereka menahan diri dari meminta dan enggan dari menunjukkan kemiskinan mereka dan tiada siapa yang mengetahui mereka melainkan orang-orang yang mempunyai perhatian yang tajam”.

Namun demikian, nas ini adalah satu nas yang umum yang merangkumi orang-orang yang lain dari mereka (muhajirin) di setiap zaman, iaitu merangkumi orang-orang miskin yang berjiwa tinggi yang hidup dalam satu keadaan yang menghalang mereka berusaha mencari rezeki dan mereka mempunyai kehormatan diri yang menghalang mereka meminta pertolongan dan bantuan.

Mereka menahan diri daripada meminta supaya kemiskinan mereka tidak ketara dan kerana itu mereka disangkakan kaya oleh orang-orang yang tidak mengetahui keadaan mereka. Namun orang-orang yang peka dan mempunyai mata hati yang terbuka dapat memahami apa yang sebenar di sebalik jaga diri itu, kerana perasaan-perasaan jiwa mereka dapat dilihat dengan jelas pada tanda-tanda dan keadaan mereka walaupun mereka cuba menyembunyikan kerana malu.

Itulah satu gambaran yang mempunyai saranan yang amat mendalam. Ia digambarkan oleh sepotong ayat yang pendek untuk menunjukkan satu contoh manusia yang mulia. Itulah satu gambaran yang sempurna yang memperlihatkan sifat menahan diri dari meminta. Itulah cara al-Quran menggambarkan contoh-contoh manusia dengan gambaran yang seolah-olah hidup dan bergerak.

Mereka yang miskin dan menyembunyikan kemiskinan mereka seolah-olah mereka menutup aurat itu hendaklah diberi sedekah kepada mereka dengan cara sembunyi dan lemah-lembut supaya maruah dan kehormatan mereka terguris.

Oleh sebab itulah ayat ini diiringi dengan kenyataan yang menyarankan supaya sedekah itu diberi dengan cara sembunyi dan meyakinkan para pemberinya bahawa Allah mengetahui setiap pemberinya dan akan memberi ganjaran kepadanya.

Enggan

Firman Allah: Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak.

Al-Nasafi berkata, mereka yang miskin tetapi menjaga maruah tanpa meminta dengan pada mukanya dan keadaannya pucat kekuningan tetapi masih enggan meminta kepada manusia.

Mengikut hadis sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah amat menyukai orang yang malu lemah lembut bermaruah dan benci daripada perkataan yang tidak baik dan meminta-minta.

Al-Maghaghi berkata, ini kerana boleh jadi menjaga maruah dan mereka tidak memohon kepada manusia kerana sifat dan sikap yang baik justeru benarlah sabda Rasulullah SAW mengikut riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah: Bukanlah orang miskin yang mengelilingi manusia yang mendapati sesuap atau dua suap dan kurma atau sebiji tamar atau dua biji tamar tetapi orang miskin yang sebenarnya yang tidak mendapati orang kaya yang boleh mengkayakannya dan tidak cerdik untuk itu lantas di sedekahkan kepadanya dan beliau tidak memohon bangun meminta kepada manusia.

Bacalah sejarah, kita dapati bahawa sahabat r.a pada permulaan hijrah dalam kesempitan dan kefakiran yang amat sangat sehingga mereka terpaksa tinggal berhampiran dengan masjid Nabi untuk tidur. Ini kerana segala aset mereka di Mekah telah ditinggalkan.

Walaupun begitu mereka tetap sabar dan amat kuat memelihara agama di samping menjadi penghafal hadis dan sunah Nabi SAW. Pernah satu ketika Rasulullah SAW berdiri dan berkhutbah kepada golongan ini selepas melihat kefakiran mereka dan kedaifan tetapi mempunyai hati yang baik sabda baginda: Bergembiralah hai golongan ahli Suffah maka siapa yang kekal di kalangan ummatku atas sifat yang ada pada kamu ini dengan penuh keredaan sudah pasti ia menjadi daripada teman-temanku.

Firman Allah: Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), Maka Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Al-Maghaghi berkata: Tiada sembunyi atas-Nya kebaikan niat dan keikhlasan seseorang pada amalan dan Allah pasti akan membalasnya

Sayyid Qutub berkata: “Hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia dan sebarang kebajikan tidak akan hilang di sisi-Nya.

“Pada akhirnya ayat yang berikut mengakhiri perlembagaan sedekah di dalam pelajaran ini dengan mengemukakan satu nas yang umum yang meliputi segala cara infak dan segala masa infak, juga mengemukakan satu hukum yang meliputi setiap orang yang mengeluarkan infak kerana Allah SWT”.

Iktibar Ayat:-Islam melarang perbuatan meminta-minta.
- Setiap harta yang diinfak itu akan mendapat ganjaran daripada Allah.
- Keutamaan infak adalah kepada golongan yang fakir.

Ahad, 13 April 2008

Hukum Perjudian Dalam Sukan

Oleh: Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman

Permainan dan peraduan moden Ada ulama cuba menganggap permainan atau pertandingan beserta hadiah sebagai ‘Wa’d Bi Tabarru’ atau janji untuk bersedekah, namun majoriti ulama tidak bersetuju dengan pandangan ini dan mengklasifikasinya sebagai aqad mu’awadat atau kontrak komersial untuk meraih pemilikan dan untung. (Al-Furusiah, Ibn Qayyim, hlm76)
Dengan berubahnya klasifikasi ini, semua hukum akan berubah bentuknya. Saya akan menyentuh dengan ringkas beberapa jenis cara pemainan yang boleh dijumpai dalam masyarakat kita. Ia seperti berikut:


1. Dua orang bermain tenis, namun hanya satu pihak meletakkan hadiah sebanyak RM200. Siapa yang menang akan memiliki hadiah itu.Hukum: Ulama berbeza pandangan dalam bab ini kerana hanya satu pihak mengeluarkan hadiah.

Fatwa ulama seperti berikut:

a. Harus: Demikian pendapat majoriti ulama dari mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

b. Haram: Ia pendapat mazhab Maliki kerana wang RM200 sudah keluar daripada miliknya. Jika dia menang, wang itu akan kembali kepadanya atas nama ‘qimar’.

Pendapat lebih kuat (rajih) adalah pendapat pertama yang mengharuskannya kerana wang RM200 itu miliknya dan pihak kedua tidak terbabit dalam memberi wang, dengan sebab itu pihak kedua tidak terdedah kepada risiko. Dengan demikian, wang RM200 tadi dikira hadiah biasa dan bukan judi.

2. Dua orang bermain tenis, kedua-duanya mengeluarkan wang sebagai hadiah. Ulama terbahagi kepada tiga kumpulan dalam hal ini. Namun majoriti ulama, termasuk Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali serta Majlis Fiqh Dunia memfatwakannya HARAM.

Malah, Ibn Rusyd Al-Hafid menyebut ada ijma’ mengenai pengharamannya. (Tabyin Al-Haqaiq, Az-Zaila’ie, 6/228; Al-Kafi, Ibn Abd Barr, 1/489; Al-Umm, Al-Syafie, 3/230; Al-Insaf, Al-Mardawi, 6/93; Al-Jami’, Ibn Rusyd, hlm 336)

3. Dua orang bermain tenis, mereka bersetuju siapa yang kalah perlu membayar harga sewaan gelanggang tenis.

Hukum: Ia judi, walaupun ada unsur usaha daripada kedua-dua pihak dan bukan permainan nasib semata-mata. Unsur judinya datang daripada sudut hadiah. Seolah-olah kedua-dua pihak meletakkan sejumlah wang untuk membayar sewa gelanggang, hanya yang kalah akan terkena. Ia tetap judi, walaupun kedua-dua pihak meredainya. Tiada reda dalam perihal haram.

Namun jika hanya seorang menjanjikan hadiah, seorang lagi tidak, hukumnya berubah menjadi harus atau halal. Ia pendapat mazhab Al-Hanafi, Syafie dan Hanbali (Tabyin Al-Haqaiq, Az-Zaila’ie, 6/227; Qawanin Al-Ahkam, Ibn Juzai, hlm 177; Hasyiah Al-Qalyubi, 4/266; Al-Insaf, Al-Mardawi, 6/93)

4. Dua orang atau lebih bertanding futsal, kumpulan yang kalah disyaratkan belanja makan kumpulan yang menang.

Hukum: Ia juga perjudian dan sama bentuknya dengan bentuk nombor tiga di atas.

5. Beberapa kumpulan ingin menganjur pertandingan bola sepak, namun tiada sumbangan hadiah dan tiada tajaan diperoleh. Natijahnya mereka menggunakan wang terkumpul daripada yuran penyertaan sebagai hadiah atau untuk membeli hadiah.

Hukum: Ia judi, walaupun bola sepak bukan permainan yang bergantung kepada nasib semata-mata. Unsur judi datang daripada bahagian kedua iaitu hadiah wang terkumpul daripada semua peserta. Ini menjadikan semua kumpulan terdedah kepada untung dan rugi.

Tatkala itu Majlis Fiqh Dunia menganggapnya perjudian. Demikian juga jika ditinjau daripada perspektif empat mazhab. Namun jika hadiah datang daripada sumbangan mana-mana pihak yang tidak menyertai pertandingan itu, permainan tadi menjadi halal secara sepakat ulama. Ada yang bertanya, bagaimana jika semua kumpulan diberi hadiah sagu hati? Jawapannya, ia tetap judi jika pemenang utama mendapat hadiah yang berbeza nilainya. Namun jika semua hadiah sama nilainya tanpa kira yang menang dan tewas, ia menjadi harus dan bukan lagi judi. Dalam hal ini, pemenang hanya mendapat keseronokan dan kepuasan perasaan.

Ringkasnya, ulama sepakat setiap permainan yang memerlukan penyertaan yuran untuk bermain dan hadiahnya diambil daripada wang itu, semuanya judi tanpa mengira sama ada permainan itu bersifat ilmiah, minda dan lain-lain.

6. Membeli akhbar untuk menyertai pertandingan teka bola dan sebagainya.

Hukum: Majlis Fatwa ulama Mekah dan Madinah memfatwakannya sebagai harus. Demikian juga pandangan terkuat menurut beberapa ulama kontemporari seperti Prof Dr Uthman Syabir. (Ahkam Al-Musabaqat Al-Mu’asiroh, Majma Fiqh Islami, Ke 14, tahun 2003)

Keharusan ini kerana si pembeli tidak rugi apa-apa kerana ia beroleh manfaat serta khabar, kecuali jika dibelinya surat khabar sehingga 10 naskhah hanya kerana ingin menyertainya banyak-banyak. Tatkala itu hukum bertukar menjadi haram dan judi.Kesimpulannya, hadiah pertandingan yang dibenarkan dalam Islam hanya jika:1. Hadiah didermakan pihak ketiga yang tidak memasuki pertandingan manakala wang yuran peserta hanya untuk kegunaan pentadbiran pertandingan.2. Hadiah diambil daripada sebahagian yuran peserta saja, manakala yang lain digunakan untuk pentadbiran pertandingan.


Semoga artikel ringkas ini dapat menyedarkan umat Islam di sekeliling akan pembabitan mereka dalam perjudian tanpa disangka

Selasa, 1 April 2008

BAHAYA ANTI MAZHAB Oleh: Us. Mohd Aizam Mas’od, Caw. Aqidah, Bah. Penyelidikan JAKIM


Golongan Anti Mazhab


Tiada keraguan bahawa Malaysia ialah sebuah Negara Islam yang berpandukan dasar Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Aqidah, syariah dan akhlak ummah sentiasa dipelihara agar selari dengan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam dasar tersebut. Di dalam memandu umat Islam agar sentiasa berada di landasan yang betul, para ulama Ahli Sunnah amat mementingkan pegangan terhadap disiplin ilmu.Dalam soal menjalankan ibadat, umat Islam telah sepakat bahawa al-Qur’an dan al-Sunnah tetap menjadi dua sumber utama syariat yang wajib ditaati dan diamalkan. Kedua-duanya merupakan perlembagaan yang seharusnya menjadi pedoman dan rujukan oleh umat Islam di persada bumi ini. Fakta ini tidak mungkin dimungkiri oleh sesiapa pun kecuali yang kafir dan munafiq.

Pada asalnya setiap muslim wajib untuk mengambil hukum-hakam Allah SWT secara langsung daripada kedua sumber utama itu. Bagaimanapun realiti membuktikan tidak semua umat Islam mampu untuk mengeluarkan hukum-hakam secara langsung daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Ternyata hanya segelintir yang berkemampuan dan berkelayakan melakukannya seperti imam-imam mazhab yang empat. Imam Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali.Para ulama Usul bersepakat bahawa orang yang berkemampuan mengistinbat hukum secara langsung daripada sumbernya, wajib berpegang dan mengamalkan hasil ijtihadnya. Mereka tidak dibenarkan sama sekali untuk mengambil hasil ijtihad ulama yang lain. Kewajipan beramal dengan hasil ijtihadnya itu mutlak sama ada ia menepati hakikat sebenar yang dikehendaki oleh Allah SWT mahupun tidak. Apa yang penting seseorang mujtahid itu telah benar-benar memerah segala keupayaannya untuk memahami nas-nas syara‘ berlandaskan metodologi ilmu yang ditetapkan.

Imam al-Ghazali mengatakan di dalam kitabnya al-Mustasfa: “Para ulama Usul bersepakat bahawa apabila seseorang sudah berijtihad dan telah memperoleh hukum berasaskan dugaannya (zann) yang kuat, maka dia tidak harus lagi bertaqlid kepada mujtahid lain yang menyalahi ijtihadnya. Dan dia tidak boleh beramal dengan ijtihad yang lain serta meninggalkan ijtihadnya sendiri”1.

Begitu juga pandangan ahli Usul yang lain seperti Ibn al-Humam. Beliau menyebut di dalam kitabnya al-Tahrir: “Seorang mujtahid apabila telah berijtihad dalam sesuatu hukum, maka ia dilarang untuk bertaqlid dalam hukum itu menurut kesepakatan ulama Usul”2.

Begitulah kedudukan seorang mujtahid terhadap hukum Allah SWT yang tertera di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Tahap seseorang mujtahid sudah pasti tidakmenyamai golongan yang tidak berkemampuan untuk berijtihad atau dipanggil sebagai golongan awam. Awam bermaksud berpengetahuan untuk mengamalkan hukum-hakam Islam yang tersedia namun tidak berkemampuan mengeluarkan sendiri setiap hukum dari sumbernya. Pengertian ini tidak sesekali bermaksud menafikan kewajipan beramal bagi orang yang tiada kemampuan berijtihad. Bagi golongan ini para ulama mewajibkan mereka mengikuti atau bertaqlid kepada mazhab. Bagaimanapun pandangan ini disanggah oleh golongan yang mengatakan haram berbuat demikian. Di sini berlaku perselisihan pandangan di kalangan umat Islam. Ia terbahagi kepada dua kumpulan besar:-

Pertama: Segolongan ulama Usul yang berpendapat bahawa bermazhab itu haram.Umat Islam wajib mengikuti apa yang ada di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah secara langsung tanpa perantaraan mazhab. Antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Khajandi, Nasiruddin al-Albani dan Ibn Hazm.

Kedua: Majoriti ulama Usul yang berpendapat bahawa bermazhab bagi orang awamitu harus. Bahkan bagi orang awam yang benar-benar murni, bermazhab itu wajib.Cuma mereka berbeza pendapat, apakah mengikuti mazhab itu dalam erti kata taqlid atau iitiba‘.

GOLONGAN MENOLAK MAZHAB


Bagi golongan pertama, bermazhab itu haram secara mutlak. Sesetengah mereka sehingga mendakwa pengikut mazhab empat itu kafir dan sesat. Pendapat ini terkandung di dalam risalah yang berjudul “Hal lilmuslim mulzamun bittiba’ mazhabinmu’ayyan minal mazahibul arba’ah”. Penulisnya ialah Muhammad Sultan al-Ma‘sum al-Khajandi al-Makki. Risalah tersebut dinukil oleh Dr. Said Ramadan al-Buti di dalam kitabnya berjudul “Alla Mazhabiyyah Akhtaru Bid’atin Tuhaddidu al-Syariat al-Islamiyyah” yang menyimpulkan bahawa pendapat al-Khajandi tersebut amat menyesatkan dan merbahaya. Bagi al-Buti, beliau mendokong pendapat bermazhab itu harus. Bahkan bagi orang
awam hukumnya wajib.

Antara kenyataan al-Khajandi adalah, “Islam tidak lebih daripada kumpulan-kumpulan hukum yang dapat dihitung serta sedikit sekali dan boleh difahami oleh setiap orang Arab atau setiap muslim...dan sesungguhnya mazhab-mazhab itu tidak lebih daripada pendapat-pendapat ahli ilmu di dalam memahami sesuatu masalah. Bagi pendapat-pendapat ini, sama ada Allah mahupun RasulNya tidak mewajibkan kepada seseorang pun untuk mengikutinya”3.

Dapat difahami dari kenyataan di atas, al-Khajandi mahu mengatakan alasan
ketidakperluan mazhab itu kerana ajaran Islam itu sedikit sekali dan sangat mudah serta sederhana sekali sehingga setiap orang mampu untuk memahaminya secara langsung daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Justeru itu tiada keperluan buat umat Islam untuk bermazhab dengan para mujtahid, kerana mereka sendiri dibenarkan untuk menggalinya dari al-Qur’an dan al-Sunnah.
Kenyataan ini mirip dengan kenyataan seorang orientalis Jerman bernama Scacht yang terkenal sebagai seorang yang amat benci terhadap Islam. Dia pernah berkata, “Sesungguhnya fiqh Islam yang disusun oleh para imam mazhab itu adalah karya hukum ciptaan otak yang istimewa yang disandarkan kepada Kitab dan Sunnah.4”

Khajandi juga mengatakan: “Barangsiapa berpegang dengan semua pendapat Abu Hanifah, Malik, Syafi’i, Ahmad atau yang lainnnya dan tidak berpegang dengan apa yang ada di dalam al-Kitab dan al-Sunnah, maka bererti dia telah menyalahi ijma‘ umat dan mengikuti jalan yang tidak ditempuh oleh orang mukmin”5.

Khajandi berkata lagi di tempat lain, “...ikut kepada mazhab termasuk perbuatan
bid’ah, sesat dan kufur, kerana mengikut orang tersebut bererti menganggap imam-imam dan tokoh mazhab sebagai Tuhan selain Allah.6”

Begitu juga A. Hassan Bandung pernah mengungkapkan perkataan yang senada
dengan huraian tersebut, beliau berkata, “Bermazhab sama maknanya dan
maksudnya dengan bertaqlid. Kedua-dua itu dilarang oleh Allah, Rasul, Sahabat
bahkan oleh imam-imam yang ditaqlidi”7. Selanjutnya beliau mengatakan, “Keluar dari mazhab itu bukan haram, tetapi wajib. Masuk sesuatu mazhab itu bukan wajib tapi haram.8”

Kesemua kenyataan beliau ini didapati mengarah kepada satu makna dan tujuan
iaitu bermazhab adalah haram. Ibn Hazm turut berpendirian serupa dengan kedua ulama tersebut. Di dalam kitabnya al-Muhalla beliau menyebut, “Agama Islam yangwajib diikuti oleh setiap orang tidak boleh diambil kecuali dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih”9. “Seseorang muslim tidak boleh mengikuti (mujtahid) sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia dan setiap orang mesti (wajib) berijtihad sesuai dengan kemampuannya”10.

Memahami realiti umat Islam yang wujud pada hari ini, pendapat golongan yang menolak mazhab sukar untuk diterima bahkan amat berbahaya terhadap kemurnian syariat Islam. Syariat Islam bakal dicemari dan dikotori kiranya ajaran yang tertera di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang berbahasa Arab itu diistinbat dan digali oleh orang yang tidak berkeahlian sedikitpun. Fakta ini tidak boleh dimungkiri.Perlu diakui, majoriti umat Islam di dunia memiliki ilmu pengetahuan yang amat minimum dalam soal keagamaan. Walaupun umumnya berpendidikan tinggi, namun itu bukan pra-syarat untuk mengizinkan mereka memperlakukan apa sahaja terhadap nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah. Sebaliknya pemahaman dan penelitian ke atas nas-nas syara‘ memerlukan penguasaan yang tinggi di dalam disiplin ilmuilmu Islam tertentu seperti Bahasa Arab, Usul Fiqh, Ulum al-Hadith, Usul al-Tafsir dan lain-lain.

Bayangkan dengan ketidakmampuan itu, mereka tetap dipaksakan berijtihad dan diharamkan mengikut mazhab. Bagaimana mungkin mereka dapat melaksanakan ajaran agama yang menjadi beban kewajipan ke atas setiap muslim. Dalam hal ini, al-Amudi berkata, “...orang yang tidak memiliki kemampuan berijtihad, bila terjadinya sesuatu masalah (hukum) maka baginya ada dua kemungkinan. Pertama: Dia tidak terkena kewajipan melakukan apa-apa sama sekali (tidak wajib beribadah), hal ini menyalahi ijma’. Kedua: Dia terkena kewajipan melakukan ibadah, (kalau demikian) bererti dia harus meneliti dalil-dalil yang menetapkan sesuatu hukum atau dia harus taqlid. Yang pertama jelas tidak mungkin. Maka tiada kemungkinan lain selain taqlid dan itulah yang menjadi kewajipan dia di kala menemui sesuatu masalah yang memerlukan istinbat hukum11.

GOLONGAN MENGHARUSKAN MAZHAB

Manakala golongan kedua pula sepakat tentang keharusan mengikuti pendapat dan fatwa para imam mazhab. Mereka hanya berselisih pendapat dalam hal; apakah keharusan bermazhab itu dalam erti taqlid atau ittiba‘. Majoriti ulama Usul berpendapat bahawa umat Islam yang belum mencapai tahap mujtahid wajib bermazhab. Bagi mereka tiada perbezaan antara istilah taqlid dan ittiba‘, keduaduanya memberi kesimpulan yang sama iaitu bermazhab. Mereka juga tidak membezakan antara orang awam yang murni dengan yang berpengetahuan tetapi belum sampai ke tingkatan mujtahid, kedua-duanya tetap dianggap awam. Kewajipan orang awam adalah bertanya kepada ahli ilmu iaitu mujtahid. Apabila seseorang bertanya atau mengikuti seseorang mujtahid (mazhab) maka ia disebut bermazhab. Dalam hal ini Ibn al-Subki dalam kitabnya Jam‘ul Jawami‘ mengatakan,

“Selain mujtahid mutlak, sama ada dia awam mahupun lainnya, wajib bertaqlid kepada mujtahid kerana berdasarkan ayat “hendaklah kamu bertanya jika kamu tidakmengetahui”12.

Al-Amudi pula mengatakan, “Orang awam dan orang yang tidak memiliki keahlian berijtihad, walaupun dapat menghasilkan sebahagian ilmu yang mu’tabar dalam berijtihad, dia wajib mengikuti pendapat para mujtahid dan berpegang dengan fatwafatwanya, demikian menurut ahli tahqiq dari ulama usul”13.

Manakala Ibn al-Humam berkata, “Selain mujtahid mutlak, wajib bertaqlid walaupun dia sebagai mujtahid sebahagian (masalah fiqh) atau sebahagian ilmu, hal tersebut berdasarkan pendapat bahawa ijtihad boleh berlaku dalam sebahagian masalah sahaja.14”

Khudhari Bek pula berpandangan, “Wajib atas orang awam meminta fatwa dan mengikuti para ulama”15.

Dari kenyataan para ulama Usul tersebut, ternyata bahawa kewajipan bermazhab bagi selain mujtahid mutlak adalah wajib. Sama ada orang awam murni mahupun awam dalam erti belum sampai ke darjat mujtahid mutlak, walaupun dia mampu berijtihad dalam sebahagian masalah. Ini berdasarkan pendapat berijtihad itu boleh berlaku dalam sebahagian masalah fiqh. Menurut Ibn al-Humam pendapat ini adalah pendapat yang benar. Bagi pendapat yang mengatakan ijtihad itu mesti pada keseluruhan masalah fiqh, maka kewajipan bermazhab bagi yang bukan mujtahid itu lebih mutlak lagi, kerana baginya tiada istilah ijtahid sebahagian, malah ijtihad mesti pada keseluruhan masalah fiqh.


Demikian juga golongan ini tidak mensyaratkan keharusan mengetahui dalil atau dasar hukum yang menjadi sandaran pengambilan sesuatu hukum si mujtahid yang diikuti. Sementara itu golongan lain mewajibkan orang yang bermazhab itu mengetahui dalil-dalil yang dipakai si mujtahid yang hendak diikuti. Ia diistilahkan sebagai ittiba‘ dan bukan taqlid (ikutan) semata-mata. Ittiba‘ bermaksud mengikuti pendapat seseorang mujtahid (mazhab) dengan mengetahui dasar hukum pendapatnya itu. Lebih jelas lagi erti ittiba‘ dan taqlid yang dimaksudkan ialah,

“Taqlid itu bukan ittiba‘. Ittiba‘ ialah mengikuti seseorang kerana jelas dalilnya dan sah mazhabnya. Manakala taqlid ialah mengikuti seseorang dan mengambil pendapatnya tanpa mengetahui sumber pengambilannya serta menegah daripada mengikuti selainnya walaupun telah nyata bahawa yang diikutinya itu tersilap”16.

Kenyataan di atas menegaskan bahawa taqlid yang dilarang ialah mengikuti pendapat seseorang mujtahid dengan cara membabi buta. Iaitu menerima apa sahaja yang datang daripada mazhab walaupun dalilnya lemah. Ditambah pula dengan ketaksuban yang tinggi walaupun ternyata dalil pendapat yang lain lebih kuat dan kukuh.

BERPEGANG KEPADA SATU MAZHAB

Al-Syaukani berkata, “Para ulama yang mengharuskan taqlid berselisih pendapat,adakah wajib ke atas orang awam untuk berpegang kepada mazhab tertentu (satu mazhab sahaja)? Berkata segolongan: Wajib, Ilkia al-Hirasi memilih pendapat ini. Berkata yang lain: Tidak wajib, ia dikuatkan (tarjih) oleh Ibn Burhan dan al-Nawawi, ia adalah mazhab Hanbali. Mereka mengambil dalil dengan mengatakan bahawa Sahabat r.a.h. tidak memungkiri golongan awam untuk mengikuti sesetengah mereka pada sebahagian masalah dan sesetengah yang lain pada masalah yang lain. Golongan Salaf terdahulu juga bertaqlid kepada yang sesiapa yang dikehendaki mereka sebelum lahirnya mazhab-mazhab”17.

Wahbah al-Zuhaili telah membincangkan isu ini dengan membahagikan pandangan ulama Usul kepada tiga. Pendapat pertama mengatakan wajib beriltizam dengan mazhab tertentu dengan kepercayaan penuh bahawa ia adalah benar. Oleh itu wajib ia beramal berdasarkan apa yang ia percayai.

Kebanyakan ulama Usul pula berpandangan tidak wajib bertaqlid kepada mazhab tertentu dalam kesemua masalah dan peristiwa yang dihadapi. Bahkan harus untuk mengikuti atau bertaqlid dengan mana-mana mujtahid mengikut kehendaknya. Walaupun dia seorang penganut kepada mazhab tertentu seperti mazhab Abu Hanifah atau Syafi’i dan selain keduanya, tiada kewajipan untuk terus menerus mengikutinya. Malah harus baginya untuk berpindah dari mazhabnya ke mazhab yang lain. Bererti tiada kewajipan melainkan apa yang diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Al-Zuhaili menyifatkan ini adalah pandangan yang paling rajih di kalangan para ulama Usul.

Pendapat ketiga yang dipelopori oleh al-Amidi dan al-Kamal ibn al-Humam pula memperincikan masalah ini seperti berikut; sekiranya seseorang itu sentiasa melazimi beramal bagi sesetengah masalah mengikut mazhab tertentu, maka tidak harus baginya untuk bertaqlid kepada yang lain dalam masalah tersebut. Manakala pada masalah lain yang tidak melibatkan keiltizaman dengan mazhab anutannya maka ia harus untuk mengikuti mazhab yang lain. Bererti, tidak wujud di dalam hukum syara‘ yang mewajibkan supaya hanya mengikuti apa yang telah menjadi kelazimannya. Sebaliknya syara‘ mewajibkan supaya mengikuti para ulama tanpa perlu mengkhususkan ulama tertentu sahaja18.

Melalui perbahasan di atas, dapat diketahui bahawa bukan mudah untuk memahami dan mempraktikkan taqlid mazhab. Di sana ada syarat dan permasalahannya. Persoalannya sejauhmanakah masyarakat awam pada hari ini khususnya di Malaysia, mampu mengamalkan taqlid kepada mazhab.


Di dalam himpunan fatwa al-Azhar terdapat nukilan daripada kata-kata Ibn Amir Hajj yang menyebut,

“...bahkan tidak sah bagi orang awam itu bermazhab walaupun dia tamazhab (menyandarkan dirinya dengan mazhab tertentu) kerana bermazhab itu berlaku sekurang-kurangnya kepada yang berkemampuan untuk meneliti, mengeluarkan dalil dan mengkaji mazhab-mazhab mengikut keupayaannya. Atau sesiapa yang membaca kitab tentang perkara-perkara furu‘ sesuatu mazhab dan mengetahui fatwa dan pandangan imamnya. Adapun sesiapa yang tidak berkeahlian sedemikian, tetapi (mengaku dirinya) dengan mengatakan aku (mazhab) Hanafi, aku (mazhab) Syafi’i atau selainnya, ia tidak akan menjadi seperti itu hanya dengan ucapan semata-mata. Sebagaimana jika dia berkata aku ahli fiqh, ahli nahu atau penulis, dia tidak akan menjadi seperti itu hanya dengan ucapan...”19

Berdasarkan pandangan ini, Syeikh Hasnain Muhammad Makhluf menyimpulkan ia menjadi alasan mengapa popular di kalangan ulama ungkapan, “al-‘ami la mazhaba lahu” bermakna “orang awam tiada mazhab baginya”. Lalu beliau menukilkan pendapat dari kitab al-Bahr di dalam bab ‘Qadha’ al-Fawait’ yang menyebut, “...dan sekiranya seorang awam tiada baginya mazhab tertentu, maka mazhabnya ialah fatwa muftinya, (malah) jika dia tidak meminta fatwa sesiapa pun tetapi sesuai (amalannya itu) dengan mana-mana mazhab mujtahid, ia sudah memadai”20.

Kenyataan di atas jelas menunjukkan bukan mudah untuk seseorang mengakui dirinya bermazhab. Sekurang-kurangnya seorang penganut mazhab itu mengetahui hukum-hakam furu‘ yang difatwakan menurut mazhab anutannya. Namun di peringkat orang awam, ramai di kalangan mereka sendiri tidak mampu untuk menguasai perkara ini. Kebanyakan awam hanya sekadar bertanya kepada mana-mana guru yang dipercayainya setiap kali bertembung dengan masalah-masalah furu‘ tertentu di dalam kehidupannya.

Di dalam himpunan fatwa al-Azhar, Syeikh Hasnain Muhammad Makhluf meletakkan kaedah bermazhab bagi orang awam ialah, “mazhab al-‘ami fatwa muftihi al-ma‘rufbil ‘ilmi wa al-‘adalah” bermaksud “mazhab bagi orang awam ialah fatwa muftinya (gurunya) yang dimaklumi dengan keilmuan dan kejujurannya”.

Perbahasan ini sengaja dibentangkan di sini supaya golongan anti mazhab memahami dan akur bahawa mengikuti mazhab bukanlah mudah seperti yang disangka. Ia bukan taqlid membabi buta. Ia juga bukan bererti Mengaja membelakangkan al-Qur’an dan al-Sunnah kerana mendewakan imam dan mazhab.Sebaliknya ia adalah soal kemampuan dan keupayaan seseorang awam. Sekiranya soal bermazhab sendiri tidak mampu ditunaikan sepenuhnya oleh seorang awam, bagaimana mungkin golongan ini dibebankan pula dengan perintah supaya mengambil hukum secara langsung daripada al-Qur’an dan al-Sunnah? Mampukahmereka?

MAMPUKAH BERAMAL TANPA MAZHAB

Mutakhir ini wujud fenomena di kalangan muda-mudi yang ghairah untuk beramal hanya melalui pembacaan terus daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Setiap hokum yang diketengahkan oleh kitab-kitab fiqh mazhab akan dipersoalkan dalil dan sumbernya. Fenomena ini membuatkan para ilmuan agama terpaksa memberi dua pendekatan jawapan. Sama ada menjawab berpandukan kitab fiqh mazhab atau terus membentangkan dalilnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah serta sumbersumber hukum yang lain. Di sini timbul persoalan, adakah golongan ini benar-benar ingin mengetahui dalil iaitu bagi memperkuatkan kefahamannya terhadap hukum? Atau, adakah mereka sudah mula meragui fiqh berlandaskan mazhab dan hanya mahu memahami hukum terus daripada sumbernya iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah.

Sekilas pandang, ia suatu perkembangan yang baik, kerana ummah ingin belajar mengetahui dalil. Atau lebih tepat ingin terus belajar melalui al-Qur’an dan al-Sunnah. Sememangnya tidak dapat diragukan bahawa kita diwajibkan berpegang kepada kedua-duanya. Namun apa akan terjadi jika seseorang awam diberikan suatu manhaj yang tidak tahu digunakan. Manhaj tersebut ialah belajar secara‘langsung’ daripada al-Qur’an dan al-Sunnah!

Sebagai seorang awam yang tidak mendalami agama secara rinci, tidak mendalami nas-nas syara‘ secara halus, bahkan tidak bertemu nas-nas syara‘ melainkan hanya dalam jumlah yang amat terbatas. Wajarkah orang seumpama ini mengatakan, itu tidak menepati al-Sunnah. Itu tiada dalam al-Qur’an. Itu hanya rekaan tradisi masyarakat Melayu. Itu hanya adat semata-mata. Itu bid’ah! Dan pelbagai lagi telahan yang mungkin akan dibuat kerana berpandukan manhaj yang diajar oleh gurunya.

Bukankah suasana seperti ini boleh membawa mereka terjebak ke dalam pendustaan di atas nama Allah dan Rasul-Nya. Mungkin banyak nas-nas syara‘ yang boleh diistidlal terhadap sesuatu hukum syara‘, tetapi disebabkan kejahilannya tentang nas tersebut atau ketidakupayaannya dalam berijtihad dan memahami nas maka dia menafikan kewujudan sesuatu hukum.

Oleh itu mengajak masyarakat untuk meninggalkan mazhab atas alasan kembali kepada al-Qur’an dan al-Sunnah adalah suatu usaha yang sia-sia. Mazhab seharusnya difahami sebagai sebuah disiplin ilmu (manhaj) untuk kita memahami al-Qur’an dan al-Sunnah. Di Malaysia, kita berpegang kepada mazhab Syafi’I khususnya dalam bab ibadat dan munakahat atau disebut juga fardhu ’ain. Namun dalam bidang-bidang lain seperti mu’amalat, jinayat, kehakiman dan perundangan serta isu-isu kontemporari, jelas menunjukkan kerajaan dan umat Islam tidak terikat hanya kepada mazhab Syafi’i. Oleh itu tuduhan bahawa umat Islam di Malaysia mewajibkan berpegang kepada satu mazhab dalam kesemua masalah adalah sesuatu yang keterlaluan.

Berpegang kepada mazhab Syafi’i dalam bab fardhu ’ain sepertimana yang diamalkan sekarang bukanlah bermakna kita menolak pandangan mazhab-mazhab lain. Pendirian ini dipegang hanyalah berdasarkan ketidakmampuan seseorang untuk beramal dalam ibadatnya. Sememangnya hukum asal berpegang kepada mazhab itu tidak wajib, namun bagi selain mujtahid, beramal dengan fatwa mujtahid (mazhab) adalah wajib memandangkan tiada lagi jalan lain untuk mengetahui hukum syara‘ melainkan dengan mengikuti mazhab. Dalam hal yang sama, seseorang awam itu juga tidak mampu untuk melakukan tarjih iaitu menilai pendapat atau dalil yang terkuat antara mazhab. Ketidakmampuan itu memerlukannya untuk berpegang kepada mazhab yang dianutinya sahaja. Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti menegaskan seseorang yang mampu membuat tarjih di antara mazhab-mazhab itu, bermakna dia adalah seorang mujtahid dan keilmuannya sudah tentulah mengatasi keilmuan para mujtahid mazhab-mazhab terdahulu.

Kesimpulannya, hanya dengan penguasaan disiplin ilmu yang tinggi sahaja, seseorang mampu untuk membuat pemilihan mana yang paling sahih dan paling benar antara mazhab-mazhab tersebut. Sekaligus perkara ini sudah tentu mustahil berlaku kepada golongan awam.

BID’AH DALAM MASALAH KHILAFIYYAH?

Segelintir pejuang anti mazhab menganggap dalam banyak perkara mengikuti mazhab boleh membawa kepada bid‘ah. Mereka beralasan dengan pelbagai hujjah. Antaranya terdapat pendapat-pendapat mazhab itu yang zahirnya menyalahi nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah. Tidak disebut di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Didiamkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Menyalahi hadith yang sahih. Menyalahi imam mazhab sendiri. Tidak dilaksanakan oleh ulama Salaf serta pelbagai lagidakwaan yang lain.

Kebanyakan isu-isu yang dibangkitkan oleh golongan ini pula lebih berkisar kepada permasalahan cabang fiqh. Namun hukuman ‘bid‘ah’ yang dijatuhkan oleh mereka ke atas masyarakat yang tidak menerima hujjah mereka menyebabkan isu yang kecil menjadi besar. Secara ringkasnya, dibentangkan beberapa isu yang dibangkitkan oleh golongan anti mazhab dari pelbagai sudut masalah fiqh serta jawapannya oleh penganut mazhab :-

a) Menafikan solat sunat ihram. Pandangan ini adalah amat bertentangan dengan pandangan jumhur ulama dalam mazhab Maliki, Syafi’i dan Hanbali yang mengatakan kesunatan solat sunat sebelum ihram berdalilkan zahir hadith Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan dalam sahih al-Bukhari dan Muslim.

b) Mendakwa anjing tidak najis tetapi hanya mazhab yang mengatakan ia najis. Ia berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang menunjukkan bahawa anjing pernah kencing dan berjalan-jalan di dalam masjid. Ia dijawab bahawa hukum najis ke atas badan anjing diqiyaskan kepada kenajisan mulut anjing sebagaimana yang tersebut di dalam hadith sahih. Qiyas aulawi ini digunapakai dalam mazhab Syafi’i dan Hanbali. Adapun hadith al-Bukhari yang mengatakan bahawa anjing pernah kencing dan berjalan di dalam masjid dijawab oleh Ibnu Hajar al-Asqalani sebagai hadith yang terbit sebelum daripada arahan supaya kawasan masjid dipelihara daripada najis dan kotoran.

c) Mendakwa darah tidak najis tetapi hanya mazhab yang mengatakan ia najis. Ia berdasarkan hadith hasan riwayat Abu Daud yang dikatakan bahawa seorang sahabat yang berlumuran darah tetap terus menunaikan solatnya. Pandangan ini amat bercanggah dengan kesepakatan semua mazhab berasaskan dalil al-Qur’an yang jelas bahawa darah itu haram dimakan. Imam
al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat surah al-Baqarah ayat 173 mengatakan: “Ulama bersepakat bahawa darah itu haram dan najis, tidak dimakan dan tidak boleh dimanfaatkan”. Ibnu Taimiyyah juga mengatakan bahawa kaedah menyebut, kesucian dan kenajisan sesuatu adalah mengikut kepada kehalalan dan keharaman sesuatu makanan atau minuman. Namun begitu tidak dinafikan terdapat perbezaan pendapat ulama tentang jenis dan keadaan darah tertentu. Oleh itu setiap hukum tidak boleh dimutlakkan dengan hanya membaca satu dalil.

d) Mengatakan bahawa air kencing binatang yang halal dimakan adalah suci berdasarkan hadith sahih, boleh dijadikan asal untuk diqiyaskan kepada masalah kesucian anjing. Ianya dijawab dengan menjelaskan bahawa walaupun hadith itu sahih tetapi istidlal terhadap hadith itu adalah berbezabeza mengikut pandangan ulama. Menurut mazhab Syafi’i dan Hanafi, hadith yang mengatakan bahawa air kencing haiwan yang boleh dimakan itu suci adalah hanya di dalam kes dharurat seperti untuk tujuan perubatan.

e) Mendakwa waktu imsak sebagai sesuatu yang bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW, kerana ia melarang umat Islam makan dan minum sebelum masuknya waktu Subuh. Ia dijawab dengan mengatakan bahawa waktu imsak adalah suatu ijtihad oleh para ulama Syafi’iyyah berdasarkan hadith sahih bahawa jarak antara sahur Nabi SAW dan solat Subuh adalah lebih kurang bacaan 50 ayat. Melalui hadith ini para ulama mengatakan sunat kita berhenti makan dan minum 10 ke 15 minit sebelum masuknya waktu Subuh. Perbuatan imsak ini hanya dianggap sunat dan sesiapa yang mengatakan mazhab Syafi’i mengatakan ia wajib adalah suatu tohmahan dan tuduhan melulu.

f) Menolak perkara-perkara yang membatalkan puasa berdasarkan fiqh mazhab kerana berdasarkan hadith sahih terdapat hanya lima sahaja perkara yang membatalkan puasa. Ia dijawab dengan mengatakan kaedah memahami hukum hanya berdasarkan zahir nas sahaja adalah merupakan kaedah dalam mazhab Ibnu Hazm al-Zahiri. Perkara-perkara yang membatalkan puasa ini dibincangkan oleh ulama mazhab menurut kaedah Usul al-Fiqh dan bukan sekadar melihat zahir nas.

g) Mempertikaikan jawab lafaz-lafaz iqamah dan doa selepasnya. Ia dijawab bahawa lafaz iqamah dan doa selepasnya adalah pendapat jumhur ulama. Termasuk yang membenarkannya adalah fatwa Lajnah Tetap Bagi Kajian Ilmiah dan Fatwa Kerajaan Arab Suudi.

h) Mempertikai bacaan basmalah secara kuat. Ia dijawab bahawa membaca basmalah dengan lafaz kuat atau perlahan adalah khilaf fiqhi di kalangan ulama. Bagi mazhab Syafi’i membaca basmalah secara kuat adalah sunat mua’kkad.

i) Mempertikai perbuatan menyapu muka selepas salam. Ia dijawab dengan mengatakan perbuatan menyapu muka adalah sabit melalui hadith dha’if dan amat keterlaluan untuk menyifatkan pelakunya ahli bid’ah.

j) Menolak talqin selepas pengkebumian. Ia dijawab dengan mengatakan amalan talqin adalah sunat berdasarkan mazhab Syafi’i dan Hanbali. Imam Nawawi mengatakan walaupun hadithnya dha’if namun ia disokong oleh hadith-hadith yang sahih dan berdasarkan keumuman ayat al-Qur’an yang memerintahkan manusia supaya sering ingat-mengingati.

Masalah-masalah di atas adalah termasuk dalam perbincangan cabang fiqh. Perselisihan telah berlaku sejak sekian lama. Para ulama Usul mengatakan perselisihan cabang fiqh tidak sekali-kali boleh dianggap bid‘ah. ‘Allal al-Fasi mengatakan, “Dan tidak termasuk bid‘ah, fatwa-fatwa para ulama mujtahid, walaupunmereka mengeluarkan pandangan yang belum pernah didahului sebelumnya dengan syarat bersandarkan dalil-dalil syar‘i”21.

PENGAJARAN AL-BANNA DALAM MASALAH KHILAFIYYAH

Al-Qaradawi ada menukilkan satu kisah yang pernah berlaku kepada al-Syahid Imam Hasan al-Banna, pengasas gerakan Ikhwan al-Muslimin di Mesir. Ia merupakan kisah yang cukup baik yang perlu dihayati oleh semua pendakwah yang mengakui mahu memperjuangkan Islam terutama dalam memastikan kesatuan umat Islam. Al-Banna mencatatkan dalam Muzakkirat nya tentang kisah beliau menyampaikan kuliah agama ketika beliau masih berumur dua puluhan tahun. Beliau menyampaikan kuliah tersebut antara waktu Maghrib dan Isyak di satu sudut di sebuah masjid kecil. Setelah sekian waktu, kuliah tersebut telah mendapat perhatian dan para hadirin yang hadir telah bertambah. Termasuk juga yang hadir adalah di kalangan mereka yang menyimpan sikap dan pendirian lama dalam masalah khilaf dan suka membangkitkan api perdebatan. Sehingga pada suatu malam, al-Banna merasakan terdapat satu kelainan terhadap hadirin yang hadir. Seolah-olah terdapat perbezaan kelompok di kalangan para pendengar termasuk tempat duduk mereka. Pada malam tersebut, belum sempat al-Banna hendaklah memulakan kuliahnya, tiba-tiba beliau telah diajukan satu soalan.

“Apakah pandangan ustaz tentang masalah tawassul? Maka al-Banna menjawab:

“Wahai saudaraku, aku berpandangan engkau bukan bermaksud mahu bertanya tentang masalah ini sahaja, tetapi engkau juga mahu bertanya tentang selawat selepas azan, membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, lafaz siyadah Rasul dalam tasyahhud, bagaimana kedudukan ibu bapa Nabi SAW di akhirat, sampai atau tidak bacaan al-Qur’an kepada si mati, adakah perkumpulan-perkumpulan yang dibina oleh ahli tariqat itu maksiat atau qurbah”, dan pelbagai masalah lagi.

Al-Banna sengaja menyenaraikan semua perkara-perkara khilaf tersebut yang telah menyalakan api fitnah sejak sekian lama sehingga membuatkan lelaki penyoal itu tersentak. Lalu lelaki itu menjawab: “Ya, aku mahukan jawapan atas kesemua soalanitu!” Lalu al-Banna menjawab: “Wahai saudaraku, aku bukanlah seorang alim, tetapi aku seorang guru bandar yang menghafaz sesetengah ayat al-Qur’an dan sesetengah hadith Nabi dan mengetahui beberapa hukum agama setelah merujuk kepada kitab-kitab. Lalu aku menawarkan diri untuk mengajarkan ilmu itu kepada orang ramai. Maka sekiranya engkau bertanya kepadaku soalan yang terkeluar daripada apa yang aku tahu maka engkau telah menyukarkan aku, sedangkan barangsiapa yang mengatakan aku tidak tahu dia juga telah berfatwa. Sekiranya engkau merasa puas dengan apa yang aku sampaikan, dan melihat padanya ada kebaikan, maka dengarilah ia. Sekiranya engkau ingin mengetahui lebih lanjut maka bertanyalah kepada para ulama yang pakar selainku. Mereka mampu memberi fatwa terhadap apa yang kamu mahu. Adapun aku, maka inilah kadar ilmuku, sesungguhnya Allah tidak memberatkan ke atas seseorang melainkan apa yang diusahakan”. Itulah jawapan al-Banna kepada lelaki tersebut dan lelaki itu pada hakikatnya tidakmendapat apa-apa jawapan daripada al-Banna. Namun dengan ucapan al-Banna itu para hadirin atau kebanyakan mereka merasa berpuas hati. Lalu dengan kesempatan yang ada al-Banna meneruskan ucapannya dengan berkata:


“Wahai saudara-saudaraku, aku amat mengetahui bahawa saudara yang bertanya tadi, termasuk juga ramai di kalangan kalian, tidak bermaksud daripada soalan seumpama itu melainkan hanya ingin mengetahui, daripada kumpulan manakah pengajar baru ini? Adakah daripada kumpulan Syeikh Musa atau daripada kumpulan Syeikh Abdul Sami’?! Sesungguhnya pengetahuan ini tidak memberikan apa-apa manfaat kepada kamu, sedangkan kamu telah menghabiskan masa dalam keadaan fitnah selama lapan tahun dan cukuplah sekadar itu. Kesemua masalah-masalah itu telah diperselisihkan oleh umat Islam sejak ratusan tahun dan mereka masih terus berselisih pendapat sehingga ke hari ini, namun Allah SWT redha kepada kita untuk berkasih sayang dan bersatu padu serta membenci untuk kita berselisihan dan berpecah-belah. Maka aku ingin mengajak kamu semua berjanji dengan Allah SWT untuk meninggalkan semua perkara-perkara ini sekarang, dan bersungguh-sungguh untuk mempelajari asas-asas agama dan kaedah-kaedahnya, beramal dengan akhlaknya, kelebihan-kelebihannya yang umum dan petunjuk-petunjuknya yang disepakati. Dan mendirikan segala kewajipan dan sunat serta meninggalkan sikap memberat-beratkan dan terlalu rigid supaya hati menjadi suci. Dan supaya menjadi tujuan kita semua hanya untuk mengetahui kebenaran, bukan hanya kerana sekadar mahu memenangkan satu pandangan. Ketika itu, kita mempelajari kesemua ini bersama dalam keadaan kasih sayang, kepercayaan, kesatuan dan keikhlasan. Aku berharap kamu terimalah pandanganku ini dan agar ia menjadi perjanjian sesama kita untuk berbuat demikian”22.

PESANAN BUAT ANTI MAZHAB

Pengajaran yang boleh diambil, usahlah diputuskan perkara-perkara khilaf itu dengan alasan ia muktamad berdasarkan Sunnah. Ia lebih dekat kepada Sunnah. Ia lebih rajih berdasarkan Sunnah. Ia memang benar, tetapi adakah seluruh umat boleh dipaksa untuk memahami perkara tersebut sedemikian rupa? Dr. Yusof al-Qaradawi mengatakan, “Dan banyak perkara yang mempengaruhi kefahaman manusia disebabkan akal mereka (yang beza-beza), situasi mereka,
kecenderungan jiwa dan pemikiran mereka. Maka seorang yang tegas akan memahami nas tidak seperti seorang yang lembut memahami nas. Oleh yang demikian, warisan Islam terkenal dengan syada’id (ketegasan) Ibn Umar dan rukhas (keringanan) Ibn Abbas. Yang mempunyai pandangan yang luas akan memahami (nas) tidak seperti yang berakal sempit memahaminya...dan bagi Allah terdapat hikmah untuk Dia menjadikan nas ini menerima kepelbagaian pendapat”23. Kemudian al-Qaradawi melanjutkan lagi pada bahagian lain, “adapun yang perlu dibantah secara sesungguhnya dan ditolak pembawanya, iaitu mereka yang menolak nas-nas syara’ yang muktamad dari sudut thubut (periwayatannya) dan dilalahnya (petunjuknya)”24.

Inilah golongan yang kita perlu hadapi dengan sebenar-benarnya. Mereka ini perlu diisytiharkan ’perang’ kerana mereka menolak kewujudan syariat dalam Islam. Islam bagi mereka hanyalah satu agama tanpa syariat, tanpa negara, tanpa sebarang keterikatan terhadap nas-nas. Yang ada cuma akal dan rasional semata-mata. Inilah sasaran para pendakwah yang sebenar, sekiranya mereka benar-benar mahu mengembalikan ummah kepada al-Qur’an dan al-Sunnah.
_______________________________________________________________________________
Rujukan


1 Al-Ghazali(1973), al-Mustasfa, Mesir: Maktabat Tijariyyah al-Kubra, j.2, hal. 121.

2 Ibn al-Humam, al-Tahrir fi Usul al-Fiqh, Mesir: Mustafa al-Babi al-Halabi, j.4, hal.535.

3 Al-Buti, Sa‘id Ramadan (1981), Alla mazhabiyyah, Pent. Anas Tahir Syamsudin, Surabaya: Bina Ilmu, hal. 66

4 Ibid, hal. 68

5 Ibid, hal. 73

6 Ibid, hal. 27

7 A. Hassan Bandung(1980), Risalah al-Mazhab, Bangil: Pustaka Abdul Muis, hal. 12

8 Ibid, hal. 23

9 Ibn Hazm(1965), al-Muhalla, Beirut: Maktabat Tijariyyah, j.1, hal. 50

10 Ibid, hal. 66

11 Al-Amudi(1955), al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, Qahirah: Muassasat al-Halabi wa Syuraka’uhu, j.5, hal. 198

12 Ibn al-Subki(1965), Jam‘ul Jawami‘, Surabaya: Syarikat Maktabah Said bin Nubhan wa Awladuhu, j.2, hal.
393

13 Al-Amudi, op.cit., hal. 197

14 Ibn al-Human, op.cit., hal. 549

15 Khudhari Bek(1960), Usul al-Fiqh, Mesir: Maktabat Tijariyyah al-Kubra, hal. 382

16 Hasbi, al-Siddiqi, Pokok-pokok Pegangan Imam-imam Mazhab dalam Membina Hukum Islam, Jakarta: Bulan
Bintang, hal. 157

17Al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah(1427), Kuwait: Wizarat al-Auqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah, j.13,
hal. 164

18 Al-Zuhaili, Wahbah, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Dimasyq: Dar al-Fikr, j.1, hal. 74

19 Fatawa al-Azhar, Mesir: Wizarat al-Auqaf al-Misriyyah, j.7, hal. 173

20 Ibid.

21 Maqasid al-Syari‘ah, hal. 184. Baca artikel penulis bertajuk Bid’ah: Antara Dua Pendekatan di dalam Jurnal
Penyelidikan JAKIM bil.20/2007

22 Al-Qaradawi, Yusuf(1995), Fi al-Fiqh al-Awlawiyyat, Qahirah: Maktabat Wahbah, hal. 266-267

23 Ibid., hal. 77

24 Ibid., hal. 78. Sila baca bahagian al-Awlawiyyat fi al-Ara’ al-Fiqhiyyah keseluruhannya dari hal. 75-80,
pesanan yang sangat baik untuk para pendakwa yang terlibat dengan isu-isu khilafiyyah.