Selasa, 26 Ogos 2008
KEBEBASAN BERAGAMA: ANTARA UNIVERSAL ISLAM DAN PLURALISME AGAMA
Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa Islam merupakan agama yang bersifat universal ('alamiyyah). Ia diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia, ia tidak membeza-bezakan antara lelaki dan wanita, antara yang berkulit putih mahupun hitam. Islam tidak pernah sekali-kali mengajak kepada sifat 'ketaksuban' bahkan Islam mengizinkan bukan Islam untuk bersama-sama tinggal di tanahair yang satu dengan penuh aman dan bahagia.
Al-Qur'an al-Karim dengan jelas menyatakan secara berulang kali bahawa Islam
merupakan agama yang bersifat 'universal' sehingga mengulang sebanyak lebih
70 kali kalimah al-'alamin yang membawa maksud alam sejagat atau sekalian
alam. Menurut Qatadah sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Qurtubi dalam
tafsirnya kalimah al-'alamin merupakan perkataan jamak bagi alam yang bermaksud semua yang wujud melainkan Allah SWT.Antara sumber wahyu yang merakamkan kenyataan ini adalah firman Allah SWT di dalam surah al-Anbiya' ayat 107 yang bermaksud: "Dan tidaklah kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam".
Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya di dalam ayat ini Allah SWT mengkhabarkan bahawa Dia menjadikan Muhammad sebagai rahmat bagi mereka (umat) semua, barangsiapa yang menerima rahmat ini lalu beriman dan membenarkannya maka dia beroleh rahmat dan sesiapa yang melakukan sebaliknya maka dia akan kerugian di dunia dan akhirat. Ini jelas menunjukkan bahawa setiap muslim perlu sedar dan insaf bahawa tanggungjawab mereka begitu besar kerana menganuti suatu agama wahyu yang melampaui segala fahaman mahupun doktrin kepercayaan manusia apalagi istilah moden yang sering mengaitkan agama dengan tabiat tertentu sama ada inklusif ataupun eksklusif.
Inklusif dan Eksklusif
Pada asasnya perbahasan mengenai inklusif dan eksklusif dalam beragama lahir
daripada faham pluralisme agama yang lahir dengan berlatarbelakangkan sejarah agama Kristian di Barat. Buktinya pelopor pluralisme agama adalah William Cantwell Smith, John Hick, Hans Kung atau Leonard Swindler yang kesemuanya adalah para pemikir teologi Kristian. Sekiranya dikaji dari sudut kefahaman terhadap pluralisme agama, terdapat beberapa aliran pemikiran yang cuba mentafsirkan pluralisme agama itu dengan persepsi masing-masing. Pertama, kenyataan bahawa semua agama itu baik dan benar, iaitu dari sudut setiap pemeluk atau penganutnya. Ini berdasarkan bahawa setiap penganut agama akan menganggap agamanya adalah yang paling baik dan benar.
Kedua, kebenaran dan keselamatan agama itu ada dua jenis;
pertama kebenaran eksklusif dan kedua kebenaran inklusif. Kebenaran eksklusif adalah kebenaran tertentu yang hanya diyakini oleh agama tertentu sahaja dan tidak dalam agama lain. Contohnya doktrin tentang konsep 'triniti' hanya dipercayai dalam agama Kristian sahaja dan tidak diterima dalam agama Islam. Manakala kebenaran inklusif pula adalah seumpama konsep berkasih sayang yang dianjurkan oleh agama Islam, juga dianjur dan digalakkan oleh penganut semua agama.
Dalam memahami pluralisme agama menurut perspektif yang kedua ini terdapat di kalangan intelektual Islam menganggap bahawa inilah yang dimaksud oleh keseluruhan isi syariah Islam dalam konteks hubungan antara masyarakat berbilang agama yang menggalakkan umat Islam bertoleransi dengan bukan Islam. Bermaksud umat Islam dibenarkan bertoleransi dengan umat bukan Islam pada perkara-perkara yang bukan eksklusif tetapi ditegah sekiranya ia melibatkan perkara-perkara yang eksklusif menurut Islam seumpama yang bersangkut soal akidah dan kepercayaan atau iman dan tauhid. Manakala persoalan syariah atau fiqh pula dianggap sebagai inklusif dan boleh
dikompromi dalam keadaan-keadaan tertentu demi untuk menjaga hubungan baik dan keharmonian beragama. Sikap eksklusif yang bersifat suka mendakwa bahawa agamanya benar dan selainnya adalah tidak benar hendaklah tidak dijelmakan dan harus dikawal dan dididik agar tidak menimbulkan kekeruhan hubungan antara Islam dan bukan Islam.
Syariah Islam
Syariah Islam sering dikatakan lebih anjal dan fleksibel sehingga menjadi hujjah
untuk mengatakan bahawa sememangnya Islam sejak dahulu lagi menganjurkan sifat keterbukaan atau inklusif. Ini kerana syariah lebih cenderung kepada kefahaman atau interaksi umat Islam terhadap sumber-sumber syarak untuk menghasilkan sesuatu hukum. Oleh itu, menurut sesetengah fahaman segalagalanya adalah bergantung kepada kebijaksanaan seseorang itu untuk memilih jalan bagaimana untuk mengeluarkan sesuatu hukum itu, apakah matlamatnya serta meninjau apakah suasana ketika hukum itu hendak dikeluarkan. Adakah maksud sebegini tepat untuk disandarkan kepada syariah? Secara
ringkas, penulis ingin menjelaskan bahawa syariah menurut metodologi ilmu
Islam bererti apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk para hambanya
baik tentang akidah, ibadat, akhlak, muamalat dan apa sahaja tata hidup di
dunia ini. Namun begitu apabila disebut akidah dan syariah, kebiasaannya
syariah akan lebih dimengertikan sebagai hal-hal yang melibatkan perundangan
atau tata cara hidup manusia di dunia.
Dalam syariah terdapat banyak perbahasan berkenaan hukum yang secara tidak langsung melibatkan dua aspek penting yang tidak terpisah iaitu ibadat dan kehidupan. Menurut ahli fiqh (fuqaha') hukum ialah arahan (khitab) Allah berkenaan dengan tindak-tanduk manusia. Satu istilah lain yang ada kaitan rapat dengan syariah dan hukum ialah fiqh. Dalam penggunaan biasa ia bererti pemahaman hukum-hukum amali semata-mata. Maksud hukum amali di sini ialah ketentuan berhubung tindak-tanduk manusia. Namun begitu Islam tidak meletakkan semua hukum itu dihasilkan dengan jalan pemahaman atau lebih dikenali dengan istilah ijtihad. Oleh itu ijtihad sangat tertakluk kepada kaedah-kaedah ilmu fiqh yang perlu diketahui dan difahami oleh setiap ahli fiqh, antaranya iaitu kaedah 'tidak ada ijtihad ketika kewujudan nas (yang jelas)'. Manakala ijtihad pula bermaksud berusaha dengan segala kemampuan untuk sampai kepada hukum syarak berdasarkan dalil-dalil syarak. Maksud kaedah di atas iaitu ijtihad hanya berlaku pada masalah-masalah yang tidak terdapat dalam syariah nas yang jelas (sarih) tentangnya, adapun sekiranya kedapatan nas-nas yang jelas tentang hukum sesuatu permasalahan maka tidak boleh sekali-kali berijtihad walau dalam apa jua keadaan sekalipun, sekaligus hukumnya di sini adalah sama dengan perkara-perkara akidah yang jelas tidak dibenarkan ijtihad. Contohnya, telah jelas terdapat nas yang
mengharamkan riba, maka tidak harus lagi berijtihad tentang hukumnya. Begitu
juga seumpama telah ada nas tentang wajib membahagikan harta pusaka dengan kadar satu nisbah dua kepada waris lelaki dan perempuan, maka tidak harus lagi berijtihad untuk memberi kadar yang sama rata antara lelaki dan perempuan.
Berkenaan hukum-hukum yang diijtihadkan pula, hukum beramal dengannya adalah wajib ilzami sebagaimana para imam mujtahid wajib beramal dengan apa yang dihasilkan menerusi ijtihadnya sendiri. Baginya ia adalah seumpama hukum yang jelas daripada Allah SWT melalui al-Qur'an dan al-Sunnah. Namun bagi selain mujtahid (pengikut atau muqallid) maka hendaklah beramal dengan fatwa mujtahid memandangkan dihadapannya tiada lagi jalan lain untuk mengetahui hukum syarak melainkan dengan memohon fatwa daripada yang mengetahui dan mampu berijtihad. Oleh itu memungkiri salah satu hukum daripada hukum-hukum syarak yang sabit dengan dalil qat'iy (putus dan jelas) atau mendakwa terdapat unsur-unsur kekerasan pada hukum tertentu seumpama hudud, atau mendakwa kedapatan beberapa hukum syarak yang tidak lagi sesuai untuk dilaksanakan adalah dianggap sebagai kekufuran dan boleh terkeluar daripada Islam. Adapun memungkiri mana-mana hukum yang sabit melalui jalan ijtihad yang terbina atas dasar melampaui andaian (ghalabah zann) ia adalah maksiat, kefasiqan dan kezaliman; ini kerana mujtahid telah memeras segala daya upaya untuk mengeluarkan kebenaran dan keterangan tentang hukum Allah SWT, jauh daripada mengikut hawa nafsu diri sendiri atau kepentingan tertentu atau mengharapkan nama dan kedudukan, tetapi mereka hanya menurut dalil-dalil syarak dan panduan kebenaran manakala syiar mereka adalah amanah, benar dan keikhlasan.
Persoalannya sekarang, selepas memahami hakikat sebenar syariah Islam sebagaimana yang dikemukakan di atas, adakah masih boleh dianggap bahawa syariah Islam itu bersifat inklusif? Jawapannya tentu tidak kerana syariah Islam tidak sekali-kali besifat inklusif dalam maksud keterbukaan yang menerima penyesuaian atau perubahan hanya kerana terdapat ketidaksamaan atau percanggahan dengan agama bukan Islam. Tetapi syariah Islam adalah segala hukum-hakam yang meliputi segenap kehidupan manusia melalui sumbersumber tertentu dan kaedah tertentu yang sekali-kali tidak lari dari nilai-nilai ibadat kepada Allah SWT yang dianggap suci oleh penganutnya.
Islam agama universal Apabila ditinjau sejarah pergerakan dakwah Nabi SAW di Makkah al- Mukarramah, ia menyaksikan bagaimana Nabi SAW bersungguh-sungguh menyampaikan risalah akidah kepada seluruh umat Makkah, tiada suatupun yang disembunyikan oleh Nabi SAW kepada kaumnya melainkan dijelaskan melalui wahyu-wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepadanya dengan penuh keyakinan bahawa ini adalah agama sejagat dan boleh diterima oleh sesiapa sahaja di kalangan makhluk ciptaanNya. Namun ini tidak bermakna dengan dakwah tersebut Islam memaksa umat selainnya memeluk Islam, oleh itu Islam menerima kewujudan kepelbagaian agama dan ia dirakamkan sendiri dalam banyak ayat al-Qur'an lebih-lebih lagi ayat 11 dalam surah Hud yang menyebut sekiranya dikehendaki Allah SWT nescaya seluruh manusia akan dijadikan umat yang satu.
Dalam memahami ayat ini, umat Islam perlu mentafsirkannya berdasarkan akidah Islam yang murni. Ayat-ayat ini seumpama ini amat merbahaya sekiranya ditafsirkan hanya menurut faham ilmu sosiologi atau realiti semasa yang akhirnya mungkin dengan senang boleh dijadikan hujjah untuk mendakwa Islam itu bersifat inklusif justeru mengiktiraf kebenaran agama-agama lain. Sedangkan sekiranya ayat ini dihayati menurut akidah Islam, perlu difahami terlebih dahulu bahawa kehendak Allah SWT itu terbahagi kepada dua; pertama, kehendak menjadikan (kauniyyah) dan kedua kehendak hukum (syar'iyyah).
Kehendak menjadikan (kauniyyah) bermaksud kehendak Allah SWT menjadikan segala sesuatu sama ada baik atau buruk, bermanfaat atau tidak dan apa jua yang kehendakinya. Manakala kehendak hukum (syar'iyyah) iaitu segala bentuk perintah dan larangan yang Allah SWT jadikan bertujuan untuk ditaati atau dijauhi oleh manusia dan Allah SWT reda dan mendorong manusia untuk melakukannya serta murka sekiranya ia diabaikan. Berbalik kepada ayat di atas, Allah SWT hanya sekadar menyebut kehendak menjadikan (kauniyyah) umat tidak bersatu agama tetapi pelbagai namun dari segi kehendak hukum sememangnya manusia disuruh kesemuanya bersatu di bawah agama Allah SWT sehingga Dia sendiri menyebut bahawa tiada agama yang diredainya melainkan
Islam dan selainnya tidak akan diterima diakhirat kelak.
Dialog Keagamaan Sebagai Medium Dakwah
Islam sejak kebangkitan Rasulullah SAW mahupun para rasul terdahulu sangat menggalakkan interaksi atau perhubungan dengan umat bukan Islam. Inilah
satu-satu cara ajaran Islam dapat dikembangkan atau sekurang-kurangnya
dimanfaatkan bersama oleh umat bukan Islam. Pada hari ini kita dibentangkan
pula dengan idea supaya diperbanyakkan di kalangan rakyat berbilang agama
aktiviti dialog antara agama. Lalu terbentuk cadangan supaya pihak kerajaan
mewujudkan satu badan penyelaras yang bertindak menyelaraskan segala
aktiviti dialog keagamaan di samping memastikan keberkesanan dialog yang
diadakan.
Dialog antara agama sebagaimana yang dicadangkan ini sememangnya tidak
asing lagi bagi Islam kerana ia adalah salah satu medium penting generasi Islam
terdahulu menyampaikan risalah Islam dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan
tanpa melibatkan unsur-unsur paksaan dan kekerasan. Allah SWT merakamkan
dalam surah al-Nahl ayat 125 bermaksud: "Berdakwahlah kepada jalan Tuhanmu
dengan bijaksana dan pengajaran yang baik, dan berbahaslah (berdialog)
dengan mereka dengan cara yang terbaik, sesungguhnya Tuhanmu amat
mengetahui sesiapa yang tersesat dari jalanNya, dan Dia mengetahui orangorang
mendapat hidayah".
Menurut tafsir al-Qurtubi ayat ini diturunkan di Makkah ketika kaum Quraisy
sibuk membuat penentangan ke atas Nabi SAW dengan pelbagai bentuk
kekerasan dan keganasan, namun Allah SWT memerintahkan Nabi SAW supaya
pergi kepada mereka dan berdialog dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan
kata-kata yang lembut.
Secara ringkas, aktiviti dialog antara agama menurut perspektif Islam tidak lebih
daripada satu medium dakwah untuk menyampaikan risalah Islam kepada bukan
Islam. Oleh itu ia adalah berobjektifkan mencari kebenaran dan mengajak
kepada agama-agama lain menilai fakta-fakta yang dibentangkan dalam akidah
dan syariah Islam.Sebagai contoh bagaimana objektif dialog yang dianjurkan oleh Islam adalah sepertimana firman Allah SWT dalam surah Ali-'Imran ayat 64 bermaksud:
"Katakanlah ( Muhammad): Wahai Ahli Kitab, marilah kita menerima kalimah
yang satu antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan
Allah, kita tidak mensyirikkannya dengan sesuatu, dan sesama kita janganlah
mengambil tuhan selain Allah, sekiranya mereka berpaling, maka katakanlah:
bersaksilah bahawa sesungguhnya kami orang yang beriman".
Ayat ini dengan jelas menggambarkan kepada kita bagaimana Nabi SAW diperintah oleh Allah SWT supaya berdialog dengan bukan Islam dengan tujuan menawarkan Islam kepada mereka sekaligus mengajak mereka menerima Islam dengan hati yang terbuka.
Dalam konteks negara kita pada hari, pihak kerajaan telah berusaha menyampaikan Islam kepada bukan Islam dengan pelbagai medium dan cara sama ada secara langsung atau tidak langsung. Penubuhan beberapa badan yang ditugaskan secara langsung berkomunikasi dengan bukan Islam jelas menunjukkan komitmen kerajaan menyampaikan Islam kepada bukan Islam, antaranya penubuhan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia
(PERKIM) dan berbagai lagi. Begitu juga usaha-usaha kerajaan menyebarkan Islam secara tidak langsung seumpama melalui pelaksanaan 'Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam' dan terbaru konsep 'Islam Hadhari' sebagaimana yang digagaskan oleh Y.A.B. Perdana Menteri ketika ini. Semua ini jelas menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang boleh diterima oleh semua pihak kerana ciri-ciri universalnya dan ia tidak perlu menerima
kefahaman baru seumpama yang dibangkitkan oleh golongan pluralis dengan alasan keharmonian beragama. Sememangnya sejak dahulu lagi Islam menganjurkan sebuah masyarakat yang harmoni walaupun berbilang agama dan ia telahpun terbukti dengan terbentuknya 'piagam Madinah' ketika di bawah pemerintahan Rasulullah SAW yang telah memberikan keadilan kepada semua pihak.
Hakikatnya, sifat inklusif dan eksklusif diberikan oleh Barat hanya bertujuan
untuk mengelakkan pertembungan dan percanggahan antara agama, atau
dengan bahasa mudah simpanlah akidah dan kepercayaan masing-masing di
dalam hati atau kelompok sendiri tetapi zahirkanlah kesamaan dan kesepakatan
pada amalan-amalan yang zahir serta elakkan percanggahan antara satu dengan
lain maka dengan itu seluruh umat berbilang agama akan hidup aman dan
sejahtera.
Semoga dengan kedudukan Islam yang telah wujud sejak sekian lama di negara
ini dan diiktiraf oleh perlembagaan sebagai agama rasmi dapat terus difahami
dan dihayati oleh semua pihak terutamanya golongan bukan Islam malah umat
Islam sendiri. Oleh itu apa jua isu yang berbau perkauman dan keagamaan
haruslah dihentikan kerana ia hanya akan melahirkan percanggahanpercanggahan
yang tidak berkesudahan seterusnya boleh meruntuhkan
keharmonian institusi beragama di negara ini.
SUMBER JAKIM PENYELIDIKAN
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan