Isnin, 7 Julai 2008

Solat lima waktu syarat naik pangkat (Berita Harian 8.7.2008)


Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menjadikan wajib solat lima waktu dan Jumaat sebagai syarat kenaikan pangkat dan pengambilan baru kakitangan awam serta pemilihan calon wakil rakyat dan jawatan politik lain termasuk penghulu.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata peraturan itu sama seperti pelaksanaan syarat mesti lulus Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dalam pengambilan kakitangan kerajaan ketika ini.

"Saya akan kemukakan kepada kerajaan nanti bahawa yang tak sembahyang lima waktu dan tidak menunaikan solat Jumaat, tak boleh pegang jawatan dalam kerajaan negeri bermula dari penghulu, penggawa dan wakil rakyat

"Kita akan tapis orang ini... sembahyang atau tidak, lebih-lebih lagi sembahyang Jumaat,” katanya kepada pemberita ketika sesi rehat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, peraturan itu bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan penjawat awam supaya sentiasa mengingati Allah dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Sama seperti kalau mereka tak boleh bercakap Bahasa Malaysia, tak diterima bekerja dalam kerajaan dan kalau dalam bidang kedoktoran diwajibkan berbahasa Inggeris. Kita mesti buat perkara sama kepada orang yang tak sembahyang lima waktu dan meninggalkan solat Jumaat.

"Kalau nak dapat kerja perlu tingkatkan bahasa kebangsaan, begitu juga orang tak sembahyang perlu diusahakan supaya mereka sedar bahawa ia satu dosa yang akan menimbulkan perangai tak senonoh dan tidak takut kepada Allah," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Mohd Amar Nik Abdullah, berkata Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan dipinda bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap umat Islam yang meninggalkan solat lima waktu.

Beliau berkata, pindaan enakmen itu kini dalam kajian Maik dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) sebelum dibentangkan pada sidang DUN.

“Ketika ini, hanya orang yang meninggalkan solat Jumaat lebih tiga kali, boleh didenda sehingga RM1,000 atau satu bulan penjara atau kedua-duanya.

"Kini ada cadangan agar peraturan itu diperluaskan terhadap mereka yang meninggalkan solat lima waktu walaupun kita akui agak sukar dikuatkuasakan kerana pastinya ada yang pro dan kontra," katanya menjawab soalan Muhammad Mustafa (Pas-Demit) pada sidang DUN.

Mohd Amar berkata, setakat ini dua orang didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kelantan kerana kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat.

1 ulasan:

Suluh Hati berkata...

Best..best..mun semua negeri mengamalkan syarat tok.insyaAllah aman Malaysia...:)