Ahad, 13 Disember 2009

Sabah & Sarawak: Selepas Nospen, Remaja Melayu jual mapiau

Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my


REMAJA Melayu menunggu pelanggan tetap keputusan 4 nombor ekor atau mapiau.

KUCHING: "Saya tidak ganggu sesiapa, cuma mencari pendapatan sampingan dengan menjual mapiau," kata seorang penjual keputusan nombor ekor perempuan yang hanya dikenali sebagai Suhana, 24, ketika ditemui di bulatan berdekatan Kampung Gersik, Petra Jaya, baru-baru ini.

Jika sebelum ini kegiatan menjual keputusan cabutan nombor ekor atau mapiau kerap dikaitkan dengan orang bukan Islam, namun suasana itu kini berbeza kerana boleh dikatakan hampir semua penjualnya di kawasan majoriti penduduk Islam seperti Petra Jaya adalah Melayu.

Lebih mengejutkan, di lokasi seperti di bulatan berdekatan Kampung Gersik, empat penjual perempuan adalah kakitangan kerajaan, pelajar sekolah dan suri rumah menjalankan kegiatan berkenaan bersama penjual lelaki yang lain.

Difahamkan, kegiatan ini akan bermula pada jam 8 malam sehingga jam 10 malam dengan penjual mapiau mampu meraih pendapatan antara RM20 hingga RM30 jika mampu menjual semua keputusan yang dibuat salinan pada kertas A4 sebelum ia dipotong dua.

Menurut Suhana, dia tidak mengumpul maklumat keputusan nombor ekor berkenaan dan menyalinnya kembali pada kertas keputusan, sebaliknya ia dilakukan pihak lain sebelum mereka hanya perlu membeli keputusan itu daripada individu dan membuat salinan semula.

Dia yang bekerja sebagai kakitangan tetap sebuah jabatan kerajaan berkata, kerja itu hanya dilakukan bagi mendapatkan pendapatan sampingan selain ia adalah mudah dan tidak memenatkan sesiapa saja boleh menjual mapiau.

"Kos membuat salinan cuma RM1 dan saya menjual antara 40 hingga 60 keping mapiau pada harga 50 sen sekeping dengan jumlah pendapatan bagi tempoh sekitar dua jam kira-kira RM30.

"Saya juga membawa adik yang masih bersekolah bagi membantu menjual mapiau kerana kami terpaksa bersaing dengan penjual lain yang turut menjalankan aktiviti ini di lokasi sama.

"Bagaimanapun, kerja sampingan ini hanya boleh dilakukan pada hari keputusan iaitu malam Rabu, Sabtu dan Ahad selain pada hari yang mempunyai cabutan istimewa yang selalunya pada hari Selasa," katanya.

Tinjauan Berita Harian mendapati penjual mapiau kerap menjadikan lokasi bulatan sebagai tempat menjalankan perniagaan dengan perbuatan ini jelas membahayakan berikutan ada pemandu yang bertindak memberhentikan kenderaan di tengah jalan.

Selain bulatan berdekatan Kampung Gersik, lokasi lain ialah di bulatan berdekatan Kompleks Mahkamah Kuching, Jalan Astana, persimpangan lampu isyarat Kampung Gita serta di Jalan Matang Jaya.

Seorang lagi penjual mapiau yang dikenali sebagai Asiah, 23, berkata dia mula menjalankan kegiatan ini selepas diajak suami membantu menjualnya setahun yang lalu.

Katanya, pendapatan menjual mapiau tidak lumayan, namun ia mampu menampung perbelanjaan harian yang semakin meningkat.

"Pada mulanya saya cuma menemani suami yang lebih lama menjual mapiau di sini, namun lama kelamaan saya turut bersamanya menjual kerana mendapati kerja ini mudah.

"Suami juga menggalakkan saya menjual mapiau kerana wang berkenaan boleh dikongsi bersama bagi membeli barang keperluan lain atau digunakan untuk perbelanjaan harian di kilang.

"Saya tidak pasti perbuatan ini salah atau tidak, namun selagi saya tidak mengganggu atau memaksa orang membeli keputusan nombor ekor ini, saya rasa ia tidak menjadi kesalahan,"

Sementara itu, penduduk Kampung Gersik, Mohd Mentali Ibrahim, 41, berkata perbuatan menjual keputusan nombor ekor berdekatan jalan masuk ke kampung itu mencemarkan imej kawasan berkenaan.

"Kegiatan ini baru bermula dengan sebelum ini tiada siapa yang berani menjual mapiau di sini kerana mengetahui semua penduduk kampung ini beragama Islam dan mengetahui judi adalah haram.

"Mereka ini jika ditanya pasti mengaku berasal dari Kampung Gersik, namun sebagai penduduk asal saya tidak pernah mengenali mereka dan dipercayai penjual ini berasal dari kawasan lain tetapi menjual mapiau di sini.

"Saya meminta kepada pihak berkuasa dan Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) memantau kegiatan ini kerana mereka tidak menghormati sensitiviti umat Islam apabila berani menjual mapiau ketika sambutan Aidilfitri dan Aidiladha baru-baru ini," katanya ketika ditemui.
katanya yang mengaku berasal dari kampung berdekatan.

KOMENTAR;

Gejala seperti ini sewajarnya dicegah dari dahulu lagi. Ini kerana beberapa pihak yang hanya melihat dengan sebelah mata menyebabkan kumpulan mapiau melayu ini semakin berani untuk melakukan perkara-perkara yang menyalahi dari segi hukum agama ini.

Penjualan VCD / DVD Porno juga berleluasa di sekitar bandar kuching, namun sebagaimana kes ini, ramai yang hanya memandang sebelah mata (Bukan Urusan kita). Amatlah mustahil pihak berkuasa tidak mengetahui adanya gejala ini kerana sebagai orang awam seawal usia sekolah menengah, mereka mengetahui dimana hendak mendapatkan barang-barang tersebut. Janganlah menunggu sehingga TV# melaporkan, maka barulah diambil tindakan sewajarnya.


Mereka yang mempunyai maklumat berkenaan salah laku / kebejatan sosial ini, diharap dapat melaporkan kepada pihak berwajib, manakala pihak berwajib pula, hendaklah sentiasa bersikap pro-aktif dalam mendepani isu-isu sebegini. Ini kerana ianya melibatkan masa depan negara kita.

Tiada ulasan: