Berikut ialah pembentangan saya di Majlis Bengkel Saf Pimpinan Baru ABIM tempohari menyentuh 4 perkara:
1. Tafsiran Generasi Ketiga
2. Keperluan Pemikiran Kritis
3. Penghayatan Sistem Kepakaran Ilmu
4. Kewujudan “benchmarking” Tradisi Ilmu
Tulisan ringkas ini sesuai kepada mereka yang prihatin terhadap usaha-usaha pembinaan generasi baru kebangkitan dakwah alaf ke21 ini.
Terlebih dahulu saya ucapkan berbanyak terimakasih kepada Saudara Muhd Razak Idris, Presiden ABIM yang sudi menjemput saya untuk melontarkan beberapa pemerhatian ke arah pembentukan dan pengukuhan tradisi Ilmu dalam organisasi ABIM.
Takrif Generasi Ketiga
Diperingkat permulaan ini eloklah saya jelaskan bagaimana saya mentakrifkan Generasi Ketiga ABIM yang kini sebenarnya menjadi tunggak kelangsungan ABIM di persada dakwah Tanahair. Dalam hal ini saya akan mengambil pendekatan kitar-hayat manusia yang sering digunakan dalam ilmu kemanusiaan semasa. Secara standardnya purata kitar-hayat manusia adalah 60 tahun atau lebih sedikit (Purata Dunia Semasa 67 tahun). Satu generasi biasanya 20 tahun lebih sedikit (Misalnya, Amerika Syarikat 25 tahun). Justeru bagi sesebuah keluarga; cucu, anak dan datuk mewakili tiga generasi yang berbeza mengambil kira usia 60 tahun sebagai purata. Ini bemaksud ketika datuk berusia 60an, anak berada dalam lingkungan 40an, maka cucu disekitar 20an.
Dalam konteks ABIM, Generasi Pertama bolehlah dirujuk kepada generasi pengasas ABIM yang bergiat aktif dari tahun 60an-80an (Penubuhan PKPIM,1961 sehingga kemasukan DSAI ke dalam UMNO, 1982, Generasi Pertama ABIM ini sekarang berusia mencecah lingkungan 60an; Generasi Kedua pula aktif dari 80an-2000an (DSAI masuk UMNO sehingga DSAI dipecat dari UMNO, 1998), Generasi Kedua ABIM ini kini berada pada umur 40an; manakala Generasi Ketiga pada usia 20an atau lebih sedikit ketika ini bermula pada tahun 2000an hingga sekarang ini dan mungkin 2020 nanti. (Pimpinan ABIM semasa yang bermula ketika pimpinan Mantan Presiden, Saudara Yusri Mohd, 2005 walaupun wujud sedikit period interregnum – ketidakpastian, 2000-2005).
Walaupun kita menyedari terdapat sedikit-sebanyak pertindihan antara generasi tersebut, secara umumnya teori tiga generasi ini masih akan mempermudahkan kita melihat fasa-fasa organisasi dari sudut penampilan pemikiran teras, penumpuan gerak kerja serta pencapaian prestasi masing-masing. Malah lebih penting, kefahaman tentang fasa-fasa organisasi ini membantu kita mengenal pasti kelemahan organisasi dan mencari jalan memperbaikinya untuk bergerak dengan lebih mantap dimasa depan. Ini menjadi lebih relevan jika kita benar-benar serius berbicara soal pengukuhan tradisi ilmu organisasi.
Keperluan Pemikiran Kritis
Pertamanya, pembinaan tradisi ilmu yang mantap mestilah diasaskan melalui pemikiran kritis para pimpinan dan ahli organisasi. Pemikiran kritis adalah teras yang membolehkan kreativiti dan inovasi dalam organisasi berlaku yang mana tanpanya organisasi akan beku dan kekal ditakuk lama (status quo). Setiap zaman dan lingkungan tentunya berbeza dari pelbagai sudut. Semakin hari dunia pengorganiasian semakin kompleks dengan persoalan yang semakin rumit untuk diselesai menggunakan pendekatan sebelumnya. Ini bermaksud kita berbicara tentang paradigma organisasi atau kerangka pemikiran dan gerak kerja ABIM bagi setiap generasi. Adalah tidak munasabah malah mustahil untuk kita mempermudahkan bahawa paradigma organisasi adalah sama bagi setiap generasi.
Dalam konteks ini paradigma tidak bermaksud Visi & Misi Islam yang tentunya sama pada bila-bila zaman dan lingkungan tetapi pelbagai nuansa lain yang melatari penghayatan dan perlaksanaan Visi & Misi Islam pada batang tubuh organiasi itu sendiri perlulah diambil kira. Misalnya, paradigma lama berorganisasi lebih menumpukan kepada soal concentration of power, figurehead-oriented, heirachical structure, control and command tetapi hari ini organisasi yang cekap dan pantas mengamalkan decentralisation of power, members self-empowerment, teamwork-oriented web/networking structure, delegation of control dan seumpamanya.
Apakah organisasi ABIM benar-benar bersedia melaksanakan paradigma baru berorganisasi ini untuk bergerak pantas kehadapan? Berfikiran kritis yang merupakan titik-tolak bagi segala bentuk perubahan diri, organisasi dan masyarakat bermula dengan kita meneliti corak konvensional yang menjadi hambatan untuk organisasi kita maju kehadapan dengan lebih pantas dan baik. Kekangan/tempurung pemikiran dan gerak kerja lama ini biasanya menjadikan kita selesa dan nostalgik dengan pencapaian silam yang tentunya berguna tetapi tidak semestinya berkesan pada waktu kini.
Penghayatan Sistem Kepakaran Ilmu
Keduanya, pembinaan tradisi ilmu dalam konteks organisasi semasa memerlukan kita memahami sistem penghasilan dan penyebaran ilmu dalam organisasi moden itu sendiri. Dalam paradigma organisasi lama, keputusan seorang-dua pemimpin boleh boleh dilaksanakan malah dipaksakan tanpa banyak bicara oleh ahli-ahli terutamanya kalau ahli-ahlinya tidak kritis atau daya-analisis mereka tidak kuat. Tetapi organisasi pembelajaran yang memiliki tradisi ilmu dalam organisasi kontemporari mengamalkan expert system atau sistem kepakaran. Ilmu atau ilmu yang ada pada diri individu dan bukannya peribadi individu itu sendiri yang berperanan menentukan pemikiran dan gerak kerja organsasi.
Tambahan pula dengan terlalu banyaknya maklumat yang perlu diserapkan oleh organisasi pada setiap masa, maka ia perlu lebih ramai pakar dari pelbagai bidang untuk menganalisis setiap maklumat yang datang. Malah pada hari ini ini konsep expert system outsourcing atau pengambilan kepakaran luar (hatta dari pihak musuh sekalipun!) adalah perkara yang lumrah dalam organisasi-organisasi yang berkesan dan berjaya. Dalam konteks ABIM sebagai sebuah organisasi Islam yang berdepan dengan segala macam permasalahan umat Islam, adalah tidak mungkin bagi kita untuk sekadar bergantung dengan kepakaran dalaman. ABIM mestilah melebar-luaskan jaringan knowledge outsourcingnya mencakupi medan-medan baru yang tidak pernah diceburinya selama ini untuk memastikan organisasi tidak outdated atau diperlekehkan dari segi ilmu dan perkembangan ilmu-ilmu Islam semasa.
Sebagai contoh, terdapat kecenderungan untuk tidak mengendahkan atau memberi apresiasi yang setimpal terhadap fenomena pasca 11/9 yang sedang rancak berlaku di kalangan umat Islam di Amerika, Eropah, Australia malah dirantau ini, iaitu minat untuk kembali kepada tradisi keruhanian Islam. Malah terdapat ahli-ahli organisasi yang mencemek fenomena ini. Dalam konteks ini pimpinan dan ahli-ahli Generasi ketiga ABIM diharapkan tidak bersikap yang sedemikian kerana melalui fenomena inilah, organisasi akan reclaim balik the missing or neglected dimension yang selama ini berlaku dalam gerakan-gerakan Islam diseluruh dunia. Malah inilah sebenarnya mata-rantai yang dicari-cari oleh gerakan Islam ke dalam lembayung Ahlus Sunnah wal Jamaah yang dikelabukan oleh persona dan pedaya modenism dalam batang-tubuh umat dan gerakan pada abad yang lalu.
Kewujudan “Benchmarking” Tradisi Ilmu
Dan ketiganya, membicarakan wibawa dan kedudukan ABIM sebagai sebuah organisasi yang memiliki tradisi ilmu memerlukan kita mengenalpasti terlebih dahulu kayu ukur (benchmark/KPI) pemilikan/penghasilan tradisi ilmu khususnya dengan merujuk kepada tradisi ilmu Islam yang membentuk peradaban Islam itu sendiri. Idea besar, sarjana besar dan karya besar yang sepanjang sejarah memperkayakan warisan dan khazanah peradaban Islam sentiasa menjadi kayu ukur tradisi ilmu kita. Al-Farabi dengan Madinah Al-Fadhilahnya mengutarakan konsep governan yang baik, Al-Ghazali melalui Ihyanya mengemukakan modus-operandi kehidupan harian Muslim, Shah Wali Allah menganjurkan gagasan Irtifaqat-kehidupan beradab tinggi lagi halus dalam Hujjat al-Balighah, Ibn Khaldun dengan wawasan Umran dalam Muqaddimah mengemukakan faham hadharah-kehidupan kosmopolitan dan badawah-kehidupan kekampungan dan begitu juga Malik Bennabi dengan pelbagai pemikiran peradaban dan Profesor Al-Attas dengan faham-faham penting weltanschauung Islam seperti yang terkandung dalam Prolegomena dan pelbagai karya beliau. Justeru ABIM juga, jika benar-benar ingin dikatakan sebuah organisasi yang memiliki tradisi ilmu mestilah mampu menampilkan idea besarnya, sarjana besarnya dan karya besarnya kepada umat. Dalam tempoh hampir 40 tahun pertubuhan ini, adakah telah ditemui idea besarnya, sarjana besarnya dan karya besarnya yang memberikan dampak besar dalam pemikiran dan kehidupan umat di Tanah Air jika tidak di seantero dunia.
Persoalan “benchmarking” ilmiyyah ini sangat mustahak sekiranya kita benar-benar serius berbicara mengenai ilmu dan hal-hal yang berkaitan dengan keilmuan dan bukan sekadar sloganan semata-mata. Bahawa Al-Islam ialah sebuah agama Risalah Ilahiyyah juga Nubuwwah sangat berkehendakkan kita memahami persoalan ilmu dan keilmuan sebagai tunjang utama pergerakan kita mendahului soal-soal praktikal dan pragmatik yang sering sahaja menyibukkan kita dan menjadi alasan untuk kita tidak cenderung kepada persoalan akal-budi, ilmiyyah dan ruhaniyyah, aqidah yang sebenarnya lebih penting dan berkekalan dalam proses pembinaan peradaban Islam.
Mudah-mudahan lontaran buah pemikiran yang tidak seberapanya ini boleh mencetuskan anjakan-anjakan paradigma bagi Generasi Ketiga ABIM.
Wassalam.
Dibentangkan pada Bengkel Kerja ABIM Pusat 2009, Dewan Syura Kolej Dar Al Hikmah Kajang, 5 September 2009/ 15 Ramadhan 1430H.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan