Khamis, 5 November 2009

Teras Islam bermazhab kekal relevan

Oleh MOHD. ZAIDI ABDULLAH

ILMU Islam yang disampai kepada umat hari ini adalah hasil gemblengan ilmu ulama silam dalam memelihara warisan al-Quran dan sunah.

Kedua-duanya dipegang oleh tokoh-tokoh Islam serta difahami sebaik mungkin. Buktinya, al-Quran mushaf Madinah disemak oleh mereka yang memiliki sanad yang membawa kepada Nabi Muhammad SAW.

Para perawi al-Quran mesti dihormati oleh umat Islam kerana mereka memelihara amanah Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Jika para perawi yang memegang cara bermazhab serta sufi ditohmahkan dengan label 'bidaah dan seumpamanya', maka ia akan memberi kesan negatif dalam jangka panjang terhadap autoriti al-Quran.

Fakta ini tidak harus dipandang ringan apatah lagi ketika timbul gerakan islah atau tajdid atau salafiyyah yang tidak menghormati malah memperlekehkan ulama tradisi. Aspek yang dibenarkan berkhilaf memang ada tetapi tidak sampai menghukum orang yang tidak sehaluan sebagai bidaah dan seumpamanya. Sementara perkara usuluddin atau akidah memang tetap.

Kekeliruan aspek-aspek 'tetap' dan 'boleh ubah' semakin menjadi-jadi seperti dinyatakan oleh Dr. Muhammad Said Ramadan al-Buti. Menurutnya, tidak semestinya seorang yang memiliki ijazah tertinggi layak mereformasikan Islam kerana ia bukan bukti penguasaan semua bidang ilmu. Inilah realiti dunia akademik semasa yang tidak bersepadu sifatnya. Malah tajuk serta isi kandungan tesis hanya diuji oleh para penilai yang biasanya tidak lebih tiga orang.

Islam di Malaysia diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong manakala di peringkat negeri dipimpin oleh Sultan atau Raja atau Yang Dipertuan Negeri. Para ulama silam telah menentukan bentuk Islam di Malaysia. Jika Malaysia menerima pakai pelbagai mazhab tentunya akan berpecah-belah. Malah satu undang-undang pun tidak boleh dikuatkuasakan kerana perbezaan keputusan dalam pengadilan serta kehendak tertuduh ingin diadili menurut hukum atau mazhab yang disukainya.

Seruan golongan islah ke arah tidak bermazhab akan meruntuhkan keharmonian institusi hidup beragama di negara ini. Ini harus difahami dengan sebaik mungkin oleh semua umat Islam.

Atas sebab apa tajdid ingin dilakukan juga harus dipersoalkan. Adakah benar tajdid tersebut memberi kesan positif kepada umat Islam atau merugikan lagi keadaannya?

Pada peringkat ini, penyelidikan yang serius, mendalam serta bersepadu harus dilakukan kerana tajdid yang tertumpu kepada satu-satu ilmu sahaja tidak akan memberi kesan baik malah mengabaikan aspek yang mungkin terlupa diambil kira. Itu sebab syarat mujtahid harus memiliki pelbagai ilmu secara mendalam.

Belum tentu setiap yang lama tidak relevan sedangkan di Barat tradisi lama dikaji semula.

Ada buktinya, secara bahasa umum, sebelum ditemui teknologi gagasan konseptual harus dilakukan dulu.

Seperti fungsi gelombang dalam mekanik kuantum yang boleh difahami secara tradisi al-hikmah menerusi amr i'tibari yang sering diungkapkan dalam ilmu kalam dan falsafah.

Maka, teras Islam bermazhab yang diketuai dan diakui oleh institusi kesultanan sebenarnya masih relevan sekalipun tidak diminati oleh golongan liberal dan modenis serta salafiyyah.

Untuk membolehkan pemahaman lebih meluas maka penelitian secara adil dan saksama perlu dilakukan oleh para penyelidik yang mempunyai ilmu yang bersepadu.

PENULIS ialah Ketua Penyelidik,

Akademi 'Ulum Pondok dan Pencerahan Tamadun, Shah Alam, Selangor

Tiada ulasan: