Jumaat, 6 Mac 2009

Percayakan Tuhan bantu atasi stres

TORONTO: Satu kajian baru mendapati percaya kepada Tuhan sebenarnya membantu mengurangkan kebimbangan dan meminimumkan tekanan.

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Toronto berkata, otak golongan yang percayakan Tuhan dan ateis bekerja dengan cara berbeza apabila berdepan tekanan.

Percayakan Tuhan mempunyai kesan menenangkan pada otak yang membantu ia menghalang kebimbangan dan meminimumkan ketegangan dengan mudah, menurut kajian.

Sebagai sebahagian kajian, penyelidik diketuai pakar psikologi, Profesor Michael Inzlicht, melakukan tugasan 'Stroop task' atau ujian kawalan kognitif, ke atas peserta sambil meneliti elektrod yang mengukur aktiviti otak mereka, menurut kenyataan universiti itu.

Berbanding ateis, peserta yang kuat pegangan agama menunjukkan aktiviti yang kurang dalam anterior cingulate cortex (ACC) otak.

ACC ialah bahagian otak yang membantu mengubah suai tingkah laku dengan memberi isyarat apabila perhatian dan kawalan diperlukan, terutama ketika kejadian yang menerbitkan kebimbangan seperti melakukan kesilapan.

Semakin kukuh pegangan agama dan semakin kukuh kepercayaan kepada Tuhan, semakin kurang ACC dilepaskan sebagai reaksi kepada kesilapan dan semakin kurang kesalahan yang dilakukan.

"Kami mendapati golongan yang kuat pegangan agama atau sekadar percaya kepada kewujudan Tuhan menunjukkan aktiviti otak yang kurang berkaitan dengan kesilapan mereka. Golongan itu kurang berasa bimbang dan kurang tertekan apabila melakukan kesilapan.

"Hubung kait ini kekal kukuh walaupun selepas mengawal personaliti dan kemampuan kognitif," kata Inzlicht sambil menambah peserta yang kuat agama tidak banyak melakukan kesilapan dalam tugasan Stroop berbanding golongan ateis. � Agensi

Rujukan:
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/20090305231623/Article/index_html

Tiada ulasan: