"Amat menghairankan apabila kita masih lagi mendengar timbulnya ajaran yang masih menyeru ke arah ‘Yaqazah’. Amat menghairankan apabila ada syeikh-syeikh tarekat tertentu (tidak semuanya) yang masih menanamkan kepercayaan karut dalam hati anak-anak murid mereka bahawa kononnya syeikh tarekat atau pengasas tarekat mereka pernah bertemu Rasulullah SAW secara ‘yaqazah’.
Amat menyedihkan dan membingungkan apabila pengikut mereka menerima bulat-bulat kepercayaan ini tanpa persoalan dan yang lebih mengejutkan dan mendukacitakan apabila ada golongan yang digelar ustaz dan ustazah yang mempercayai ‘yaqazah’!
Apa itu ‘yaqazah’? Ia adalah satu kejadian ajaib yang menemukan antara syeikh tarekat tertentu dan juga Rasulullah SAW setelah bertahun-tahun malah beratus tahun selepas kewafatan Baginda. Bertemu maksudnya bertemu secara sedar dan jaga dan bukannya bertemu di dalam mimpi. Contohnya saya boleh bertemu dengan anda di mana-mana kedai makan di sekitar Kuala Lumpur. Begitulah yang didakwa oleh beberapa tarekat tertentu. Mereka mendakwa syeikh mereka pernah bertemu Rasulullah SAW secara sedar walaupun baginda telah wafat beratus tahun dahulu. Inilah ‘yaqazah’. Adakah ini perkara yang sememangnya ada di dalam Al-Quran dan hadith sahih? Adakah perkara ini merupakan perkara yang telah diterima oleh para ulama sejak dahulu hingga kini? Adakah anda boleh mempercayai cerita ini?
Kita timbulkan beberapa persoalan terlebih dahulu. Pertama, kenapa agaknya hanya syeikh tarekat tertentu yang ‘berjaya’ menemui Rasulullah SAW secara ‘yaqazah’? Sedangkan sahabat Rasulullah SAW bermula daripada Abu Bakr al-Siddiq sehinggalah kepada sahabat-sahabat yang lain tidak pernah mendakwa mereka pernah bertemu Baginda. Adakah ini satu perkara yang boleh diterima dengan mudah oleh anda? Syeikh-syeikh itu lebih hebat dan tinggi kedudukannya berbanding para sahabat?
Kenapa pula tidak ada yang menyaksikan pertemuan ini malah ia hanyalah dakwaan yang disebarkan dan diwarisi turun-temurun tanpa perbincangan dan persoalan? Malah kadangkala jalan ceritanya lebih kurang sama sahaja antara satu tarekat dengan tarekat yang lain. Apa yang berbeza hanyalah versi, waktu, tempat atau nama watak yang terlibat.
Apa perlunya Rasulullah SAW datang kembali untuk bertemu dengan orang-orang tertentu daripada kalangan tarekat kesufian dan tidak bertemu dengan orang lain? Malah para imam mazhab yang terkenal seperti Abu Hanifah, Malik, al-Syafie dan Ahmad Ibn Hanbal pun tidak pernah mengalami peristiwa ini.
Kenapa pula Rasulullah SAW perlu datang untuk mengajarkan beberapa zikir atau beberapa selawat dan doa sedangkan Baginda tidak pernah mengajarnya semasa hayat Baginda? Hampir kesemua tarekat mempunyai zikir tertentu dan selawat tertentu sebagai ‘trademark’ untuk mereka promosikan tarekat masing-masing. Apakah Rasulullah SAW datang berkali-kali untuk mengajar zikir dan selawat yang berlainan untuk tarekat yang berlainan? Anda boleh menerima cerita yang sebegini?
Mereka berkata: ‘tidak mustahil ia boleh berlaku’. Memang tidak mustahil! Tetapi adakah ia benar-benar berlaku? Wahai para ahli tarekat yang bijaksana. Saudaraku dan saudariku daripada pelbagai jenis tarekat kesufian, fikirkanlah persoalan-persoalan yang telah saya lontarkan di atas untuk anda memberikan jawapannya.
Wahai para pembaca yang belum pernah menyertai tarekat kesufian, adakah anda ingin mempercayai cerita-cerita seperti ‘yaqazah’ atau kisah-kisah ajaib yang lain?
‘Yaqazah’ tidak pernah ditimbulkan oleh alim ulama terkenal, ahli fiqh terkenal, ulama hadith atau ulama tafsir terkenal sejak zaman berzaman. ‘yaqazah’ tidak pernah dipopularkan oleh mana-mana sahabat Nabi SAW atau mana-mana tabiin (murid para sahabat). Ia hanya ditimbulkan oleh sebahagian tarekat kesufian dan dipopularkan oleh mereka walaupun mereka tidak pernah bertemu dengan bukti dan hujah yang menyokong mereka. Persoalannya, apakah faedah yang akan mereka dapat sekiranya masyarakat mempercayai cerita ‘yaqazah’ ini?
Antara faedah-faedah ‘yaqazah’ untuk tarekat kesufian ialah:
Ia akan menaikkan nama syeikh tarekat mereka sekaligus mempopularkan nama tarekat mereka kerana mereka mempunyai ‘yaqazah’ dan orang lain tidak.
1. Ia akan meyakinkan orang ramai tentang benarnya tarekat yang mereka amalkan kerana Rasulullah SAW telah memberi ‘pengiktirafan’ khas terhadap pengasas tarekat mereka. Siapa yang berani mempertikaikan kebenaran mereka apabila Rasulullah SAW telah menyokong mereka?
2. Ia akan mempopularkan zikir tertentu dan selawat tertentu yang didakwa kononnya disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada syeikh mereka. Ini akan menjimatkan masa mereka beramal kerana selalunya selawat dan zikir yang mereka dapat melalui ‘yaqazah’ mempunyai fadhilat yang amat besar sehingga mengatasi fadhilat membaca Al-Quran di sisi sesetengah tarekat!
3. Manusia sukakan perkara yang pelik dan inginkan ‘superpower’ bagi mengatasi manusia lain. Inilah yang akan diperolehi dengan ‘yaqazah’.
4. Ia seolah-olah memberikan kekebalan kepada tarekat tersebut untuk melakukan perkara yang salah kerana mereka telah pun diiktiraf oleh Rasulullah SAW secara ‘yaqazah’. Oleh itu kita dapati di antara ajaran sebahagian tarekat kesufian ialah ‘jangan persoalkan perbuatan syeikh walaupun pada zahirnya kelihatan melanggar perintah Allah’. Adakah anda dan saya ingin membantah perbuatan orang yang pernah bertemu dengan Rasulullah SAW secara jaga??
5. Membolehkan tarekat tersebut menambah amalan-amalan bid’ah kerana mereka mendakwa Rasulullah SAW yang membolehkan amalan-amalan ditambah walaupun setelah Baginda wafat. Ini akan membuka pintu yang luas kepada pertambahan amalan baru atas alasan ‘yaqazah’.
Inilah antara kelebihan tarekat yang mendakwa mereka mempunyai syeikh yang pernah ‘yaqazah’ dengan Rasulullah SAW. mungkin para pembaca dapat melihat faedah-faedah atau keuntungan lain yang akan diperolehi oleh sesuatu tarekat apabila mereka mendakwa syeikh mereka pernah ber’yaqazah’ dengan Rasulullah SAW.
Apakah bahaya ‘yaqazah’ kepada umat Islam? Apakah hasilnya jika kita menerima wujudnya ‘yaqazah’ di kalangan umat Islam?
1. Ia memberikan gambaran bahawa syariat sebenarnya belum sempurna. Oleh sebab itu Rasulullah SAW (menurut dakwaan mereka) terpaksa datang memberitahu sebahagian umatnya tentang beberapa ajaran atau zikir dan doa. Bukankah syariat telah sempurna? Bukankah setiap Rasul pasti akan menyampaikan kesemua ajaran daripada Allah SWT sepanjang hayat mereka?
2. Ia memberikan gambaran bahawa Rasulullah SAW bersikap suka berahsia dan mengkhususkan ajaran tertentu kepada orang tertentu. Bukankah Baginda adalah rahmat untuk sekelian alam? Bukankah antara sifat Baginda ialah amanah dan jujur dalam menyampaikan semua ajaran kepada seluruh umat Islam?
3. ‘Yaqazah’ akan meruntuhkan ilmu kajian hadith kerana ilmu kajian hadith mementingkan setiap periwayat bertemu dengan periwayat sebelumnya semasa hidup. Ilmu kajian hadith juga mementingkan setiap periwayat yang menyebut ‘aku mendengar Rasulullah bersabda’ atau ‘aku melihat Rasulullah melakukan sesuatu’ adalah seorang sahabat yang pernah bertemu dengan Rasulullah SAW semasa hayat Baginda. Tetapi dengan ‘yaqazah’, setiap hadith yang terputus (maksudnya periwayat tidak bertemu dengan periwayat sebelumnya atau dengan Rasulullah SAW) ‘berkemungkinan besar’ adalah hadith sahih kerana walaupun dia tidak pernah bertemu Rasulullah SAW semasa Baginda hidup, mungkin dia pernah bertemu Baginda secara ‘yaqazah’. Maka runtuhlah ilmu kajian hadith dan inilah yang dikehendaki oleh mereka! Ya, mereka ingin kajian hadith lenyap agar mereka (sebahagian tarekat yang mempercayai ‘yaqazah’) dapat menyebarkan dan menggunakan hadith-hadith palsu dan dhaif untuk menyokong kesesatan mereka! Alhamdulillah, hasrat mereka tidak kesampaian sejak dahulu hingga kini kerana wujudnya segolongan ulama hadith yang bersungguh-sungguh menyebarkan ilmu kajian hadith. Usaha mereka untuk meruntuhkan ilmu kajian hadith telah gagal dan akan terus gagal dari masa ke semasa, insya Allah!
4. ‘Yaqazah’ memberikan ruang untuk musuh-musuh Islam mengubah hukum-hakam yang telah sedia ada. Mereka boleh pada bila-bila masa mendakwa mereka telah ‘yaqazah’ dan Rasulullah SAW pernah memberitahu mereka bahawa hukum itu telah berubah dan hukum ini telah berubah. Lebih-lebih lagi jika mereka menyamar sebagai syeikh tarekat!
Marilah kita sama-sama berfikir menggunakan akal berpandukan Al-Quran dan hadith sahih yang dihuraikan oleh ulama. Tidak pernah walaupun seorang ulama yang menulis tentang Usul Fiqh memasukkan ‘yaqazah’ sebagai sumber dalam menentukan hukum. Fikirkanlah wahai saudaraku.
pENULIS:
wAHABI & pARA MER4EKA YANG TAHU SEMUA PERKARA (Jadi x payah bukak kitab).... Jangan Marah
1 ulasan:
He he...
syeikh, wahabbi knek tok khilngan bapanya muftari...
teraba-raba, mereka mencari-cari,
lalu dikerah akal mengkufur urng sik haluan...
urng kampung srwak ku, jauhkan dirik dari wahabbi ya...mun di sia...awasi peminat "wahabbi cicak man"
nya sik da suara di sia, berkokok kuat dictok(malaya), sesekali maok ajak ku ketuk!
bhujah sik berbalas, melompat dr tajuk ke tajuk...
alahai wahabbi ghuluww...
Catat Ulasan