
Lebih 3 juta termasuk Presiden Indonesia tonton
JAKARTA: Sebuah filem Indonesia yang diterbitkan bertujuan memperlihatkan keindahan Islam dan menghapuskan tanggapan negatif terhadap agama suci itu tersenarai sebagai filem 'pecah panggung' dan paling laris di negara itu. Lebih tiga juta orang termasuk Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan pegawai tinggi kerajaan Indonesia pergi ke panggung wayang untuk menyaksikan filem Ayat Ayat Cinta, sebuah kisah cinta Islam yang diterbitkan pada pertengahan Januari lalu. Filem yang diadaptasi daripada novel karya Habiburrahman El Shirazy membicarakan beberapa isu sensitif termasuk layanan Islam terhadap wanita dan pelbagai perkahwinan melalui kisah Fahri Abdullah Shiddiq, seorang graduan Indonesia yang belajar di Universiti Al-Azhar dan cabaran yang terpaksa dilaluinya untuk menjalani hidup sebagai Muslim.
Ia juga dipercayai mampu menjadi media menentang video menuduh al-Quran menggalakkan keganasan yang dibuat ahli parlimen Belanda Geert Wilders disiarkan melalui internet minggu lalu. Ia mengisahkan Fahri seorang pelajar yang terpaksa memilih calon isteri daripada empat orang wanita yang jatuh cinta terhadapnya. Dia akhirnya mengahwini Aisha seorang pelajar Turki-Jerman yang bertudung, tetapi hidup mereka dilanda masalah selepas Fahri dipenjarakan atas tuduhan palsu merogol dan berdepan hukuman gantung sampai mati.
Maria, seorang wanita Kristian Mesir, adalah satu-satunya orang yang dapat membuktikan Fahri tidak bersalah, tetapi jatuh sakit dan koma selepas mendapat tahu Fahri sudah berkahwin. Aisha merayu Fahri mengambil Maria sebagai isteri kedua bagi membolehkan dia sembuh dan memberi keterangan untuknya. Penerbit filem Hanung Bramantyo, 33, yang pernah memenangi dua anugerah Citra berkata misi beliau ialah untuk mempersembahkan Islam sebagai agama yang penuh tolak ansur dan cintakan keamanan. "Saya mahu menceritakan kepada penonton mengenai Islam daripada sudut yang bersifat sejagat. Saya juga mahu memberitahu mereka bahawa ada orang yang mampu bergaul dengan orang lain, bergaya dan hebat, tetapi pada masa sama dapat mengamalkan Islam.
"Saya percaya Islam adalah agama yang indah. Sebilangan orang berkata berjuang untuk Islam bermaksud melakukan sesuatu yang hebat, tetapi bagi saya kisah cinta juga mampu membawa mesej Islam," katanya. Beliau berkata Islam tidak hanya membicarakan mengenai syurga dan negara atau kehidupan selepas mati, tetapi ia juga boleh membicarakan mengenai cinta dan jatuh cinta pandang pertama. Sementara itu Presiden Susilo dan keluarganya yang menyaksikan filem itu bersama 80 duta dan diplomat asing berkata filem berkenaan amat menarik.
Sumber: Rauters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan